PETALING JAYA: Malaysia Gold Association (MGA) memeterai kerjasama tiga hala bersejarah dengan Lao Bullion Bank (LBB) dan Persatuan Barang Kemas dan Permata Laos (LGA), sekali gus mencipta perikatan rentas sempadan pertama antara Malaysia dan Laos dalam sektor logam berharga.
Memorandum Persefahaman (MoU) itu dimeterai semasa penganjuran sulung Festival Emas Laos 2025 yang berlangsung pada 5 hingga 7 September lalu di Vientiane.
Perjanjian berkenaan ditandatangani oleh Presiden MGA, Datuk Seri Louis Ng, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif LBB, Souphaphone Souannayong serta Presiden LGA, Phouvong Phamisith dengan disaksikan Perdana Menteri Laos, Sonexay Siphandone.
Menurut kenyataan, kerjasama strategik ini menjadi asas kepada pembangunan pasaran emas ASEAN, meliputi perdagangan dua hala yang lebih mendalam, perkongsian pengetahuan dan pembangunan pasaran bersama.
Ia menggabungkan kepakaran Malaysia sebagai pengeksport barang kemas terkemuka dunia dengan kedudukan Laos yang semakin menonjol dalam pasaran jongkong serantau.
Sepanjang lawatan rasmi empat hari tiga malam ke Laos, delegasi MGA turut mengadakan kunjungan hormat ke Kementerian Perindustrian dan Perdagangan, Kementerian Teknologi dan Komunikasi, Kementerian Kewangan serta Jabatan Geologi dan Lombong.
Pertemuan itu memberi peluang kepada MGA mendapatkan pandangan penggubal dasar, pengawal selia dan peneraju industri mengenai potensi pasaran emas Laos, selain meneroka peluang dagangan rentas sempadan dengan Malaysia.
“Malaysia kini memiliki ekosistem emas yang lengkap di rantau ini dengan permintaan domestik tahunan purata mencecah 50 tan, pembuatan barang kemas sekitar 40 tan dan eksport yang menembusi pasaran global.
“Didukung penapis serta pengeluar bertaraf dunia, negara ini muncul sebagai hab pembuatan barang kemas dan pusat jongkong yang semakin berkembang di Asia.
“Keistimewaan Malaysia turut terserlah menerusi insentif cukai terhadap dagangan emas, apabila pihak berkuasa mengecualikan duti import/eksport, Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) serta Cukai Nilai Tambah (VAT) ke atas jongkong dan barang kemas.
“Langkah itu memperkukuh daya saing negara, di samping memastikan emas kekal mampu milik dan mudah diakses pengguna serta pedagang di seluruh dunia,” katanya.
Selain perdagangan bebas cukai, MGA juga bekerjasama dengan World Gold Council untuk memperkenalkan Rangka Kerja Amalan Terbaik Malaysia, bagi memperkukuh sumber yang bertanggungjawab, meningkatkan tadbir urus dan memperkukuh kedudukan Malaysia dalam pasaran antarabangsa.
Louis berkata, kerjasama bersama LBB dan LGA itu adalah pencapaian bersejarah buat pasaran emas ASEAN kerana buat pertama kali dua negara di rantau ini memeterai perikatan strategik dalam industri emas.
“Dengan menggabungkan ekosistem mantap Malaysia dan peranan Laos yang semakin menyerlah sebagai hab jongkong serta barang kemas, kita sedang membina asas bagi memperkukuh kehadiran ASEAN dalam industri emas global. Bersama-sama, kita mampu menjadikan ASEAN sebagai hab dagangan emas baharu dunia,” katanya.
MoU tersebut mencerminkan aspirasi bersama untuk mengangkat peranan ASEAN dalam industri emas global, berteraskan ketelusan, amalan beretika dan pertumbuhan mampan, sekali gus menjadi pemangkin kepada integrasi lebih mendalam pasaran logam berharga serantau. – UTUSAN