Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Mohd Puad Zarkashi, mempersoalkan dakwaan PAS bahawa parti itu hanya bergantung kepada kutipan dana “tin milo” bagi membiayai kos kempen pilihan raya.
Puad membangkitkan isu tersebut susulan kenyataan Pengarah Pilihan Raya PAS, Muhammad Sanusi Md Nor, yang menafikan Bersatu pernah menyalurkan dana politik kepada partinya. Sebaliknya, Sanusi mendakwa PAS mengumpul dana melalui sumbangan kecil daripada rakyat.

Namun, Puad menolak dakwaan itu sebagai tidak munasabah, dengan merujuk kepada kenyataan Sanusi sendiri sebelum ini bahawa kos untuk memenangi sebuah kerusi parlimen boleh mencecah sekurang-kurangnya RM1 juta.
“Menjadi persoalan ialah, cukup ke duit kutipan tin milo? Walhal kos kempen setiap parlimen amat mahal. Sanusi kata, ‘1 parlimen 1 juta’,” sindir Puad.
Dalam kenyataannya, Puad turut mencabar Bersatu agar menyahut cabaran Sanusi dan mendedahkan butiran terperinci sekiranya memang wujud penyaluran dana politik kepada PAS.
“Bersatu mesti sahut cabaran Sanusi. Buktikan, Bersatu memang ada bagi dana politik kepada PAS. Berapa dan kepada siapa disalurkan?” katanya.
Dia menegaskan bahawa pendedahan terbuka sebegitu penting bagi merungkai kontroversi mengenai aliran kewangan dalam Perikatan Nasional (PN).
Puad turut menyindir bahawa Bersatu tidak perlu bimbang untuk mendedahkan butiran tersebut kerana tiada akta khusus yang mengawal dana politik ketika ini.

“Bersatu jangan bimbang. SPRM tidak kacau kerana akta dana politik belum wujud. Sebab itu SPRM tidak siasat ‘Wallahi, saya undi PAS’,” katanya.
Isu siapa yang membiayai parti bagi menghadapi pilihan raya mula panas apabila naib presiden PAS itu menegur parti komponen PN yang dianggapnya “mai (datang) bertanding syok saja” sedangkan mereka tidak memiliki jentera atau dana.
Dia yang juga menteri besar Kedah menegaskan dalam penggulungan muktamar baru-baru ini, dalam keadaan begitu pun Bersatu berhasrat mahu menjadi ketua dalam gabungan berkenaan.

Sehari kemudian bekas ketua setiausaha sulit kanan Muhyiddin Yassin semasa ahli politik itu menjadi perdana menteri, Marzuki Mohamad, mengingatkan bahawa bantuan dana yang diberikan oleh Bersatulah membolehkan PAS mencapai kejayaan memenangi 43 kerusi parlimen buat pertama kali.
“Perbelanjaan PN pula semuanya ditanggung oleh Bersatu. Malah Bersatu juga memberikan sumbangan kewangan yang bukan sedikit kepada PAS,” katanya.
Kenyataan itu kemudian disangkal pula oleh Sanusi yang meminta Marzuki menjelaskan kepada siapa dana Bersatu itu diserahkan kepada PAS – khususnya di Kedah – tidak ada menerimanya.