Kerajaan menegaskan bahawa kepentingan orang Melayu di Kampung Baru, Kuala Lumpur akan terus terjamin dan tidak diketepikan dalam sebarang perancangan pembangunan di kawasan bersejarah itu.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa berkata setiap langkah pembangunan akan dilaksana dengan penuh hemah dan berpaksikan lunas undang-undang.
Zaliha berkata sebarang usaha untuk mengganggu-gugat keharmonian masyarakat atau mempolitikkan isu tersebut adalah tidak wajar.
“Pendirian kerajaan adalah selari dengan titah Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj iaitu memastikan Kampung Baru kekal sebagai simbol kelangsungan maruah dan mengambil kira kepentingan orang Melayu di Kuala Lumpur,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.
Dr Zaliha berkata kerajaan menjunjung titah Sultan Sharafuddin berhubung pandangan baginda mengenai sejarah, masa depan dan hala tuju pembangunan Kampung Baru.
Sultan Sharafuddin hari ini bertitah agar isu pembangunan semula tanah di Kampung Baru dikendalikan dengan teliti serta berhemah dengan keutamaan diberikan kepada kepentingan orang Melayu.
Baginda bertitah tiada halangan sekiranya kawasan itu hendak dibangunkan seiring dengan peredaran zaman namun syarat-syaratnya perlu jelas dan berpihak kepada orang Melayu.
“Beta mahu dalam setiap butir pertimbangan yang dilakukan oleh semua pihak berkaitan mengenai hal ini, sejarah asal penubuhan dan warisan kawasan Kampong Bharu harus diambil kira,” titah baginda dalam kenyataan yang dikeluarkan Istana Alam Shah.
Menurut baginda, Kampung Baru ditubuhkan pada 1899 dan diiktiraf sebagai penempatan masyarakat Melayu untuk tujuan pertanian hasil kurniaan Sultan Selangor ke-5 Almarhum Sultan Sir Alaeddin Sulaiman Shah ibni Almarhum Raja Muda Musa melalui Warta Kerajaan Negeri Selangor bertarikh 12 Jan 1900 sebagai rizab Petempatan Pertanian Melayu (MAS).
-Bernama