Malaysia Oversight

Caprice perlu fail pembelaan pada 2 Okt ini

By MkiniBM in September 18, 2025 – Reading time 2 minute
Caprice perlu fail pembelaan pada 2 Okt ini


Penyanyi rap Caprice, atau nama sebenarnya Ariz Ramli, perlu memfailkan pernyataan pembelaan terhadap saman fitnah yang difailkan oleh usahawan Muhammad Asyraf Khalid pada 2 Okt ini.

Peguam Abdul Hakeem Aiman, yang mewakili Muhammad Asyraf, berkata Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Anand Ponnudurai turut mengarahkan plaintif memfailkan jawapan kepada pernyataan pembelaan itu pada 16 Okt.

“Mahkamah turut menetapkan 17 Okt untuk pengurusan kes… defendan juga tidak membantah permohonan injunksi plaintif,” katanya kepada pemberita selepas prosiding pengurusan kes hari ini.

Pada 18 Ogos lepas, Anand memerintahkan Caprice mengarkibkan 31 hantaran didakwa berunsur fitnah terhadap Muhammad Asyraf yang dimuat naik di Instagram miliknya selepas membenarkan permohonan injunksi ad-interim secara ex-parte (sebelah pihak) yang difailkan anak tiri Biduanita Negara Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin itu.

Muhammad Asyraf, 33, memfailkan saman itu pada 4 Ogos lepas mendakwa Caprice telah menerbitkan 31 hantaran berbaur fitnah terhadapnya di Instagram sekitar 30 Julai hingga 2 Ogos lepas.

Hantaran itu antara lain didakwa membawa maksud plaintif seorang yang memalukan kerana telah menjemput Murad Zaidi, yang merupakan jurulatih peribadi beliau, dalam audio siar semata-mata untuk memberi ruang kepadanya membela diri menerusi media sosial sekali gus tidak menghiraukan kecederaan yang dialami mangsa atas perbuatan lelaki tersebut.

Muhammad Asyraf berkata hantaran itu juga membawa maksud beliau adalah anak Datuk Seri Khalid Mohammad Jiwa, atau Datuk K, yang juga suami Siti Nurhaliza, dan atas kapasiti tersebut plaintif telah menyalahgunakan wang, kuasa, pengaruh serta hubungan kekeluargaan untuk memerangkap defendan.

Menurutnya, walaupun beliau telah membuat keputusan untuk tidak menyiarkan episod penuh Murad Zaidi seperti yang Caprice mahukan namun defendan masih berterusan menyerangnya.

Sehubungan itu, beliau memohon injunksi untuk menghalang Caprice, pekerja, wakil atau ejennya menerbitkan, mengedar, menyebar atau mengulangi hantaran fitnah sama ada secara lisan atau bertulis terhadapnya melalui mana-mana platform media sosial serta memadam hantaran tersebut di mana-mana platform media sosial dalam tempoh 24 jam dari tarikh penghakiman.

Muhammad Asyraf juga meminta Caprice memohon maaf secara terbuka menerusi video dan menerbitkannya di semua akaun media sosial milik defendan selain menuntut ganti rugi am, ganti rugi teruk, kos serta relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

– Bernama



Source link