Malaysia Oversight

Umairah mampu realisasikan impian saya yang tidak kesampaian dulu – Siti Nurhaliza

By Utusan in September 18, 2025 – Reading time 2 minute
Umairah mampu realisasikan impian saya yang tidak kesampaian dulu - Siti Nurhaliza


KUALA LUMPUR: “Mungkin Umairah dapat realisasikan impian saya yang tidak kesampaian dahulu.”

Demikian kenyataan Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza yang optimis bahawa anak saudaranya, Umairah memiliki bakat yang besar dan berpotensi untuk menebusi pasaran antarabangsa.

Menurut Siti, keistimewaan yang dimiliki Umairah termasuk kemahiran bertutur dalam bahasa Mandarin mampu membuka peluang yang lebih jauh untuknya sebagai anak seni.

“Umairah memang berbakat besar. Dia bahkan mula menceburi industri muzik lebih awal daripada saya jadi dia ada banyak kelebihan berbanding saya dan mungkin orang lain.

“Umairah fasih berbahasa Mandarin, satu kelebihan besar untuk membuka peluang lebih jauh. Saya pernah berangan mahu tembusi pasaran selepas menang di Shanghai.

“Ketika itu semua persiapan sudah tersedia, tetapi kerana saya berkahwin, impian itu terhenti. Kini saya mahu mencari ruang dan peluang itu untuk Umairah,” katanya.

Terus menunjukan sokongan padu terhadap impian anak saudaranya, Siti yang sudah lebih tiga dekad menghiasi industri muzik tanah air itu turut berkongsi antara pesanan yang sering dititipkan buat Umairah.

“Saya sering berpesan kepada Umairah, perkara paling utama adalah kesabaran, rajin memperbaiki kelemahan dan pandai berkomunikasi dengan semua orang.

“Menjadi anak seni ini memang penat kerana perlu hadap banyak jadual. Tetapi kalau itu impian Umairah, dia perlu sabar dengan segala tanggungjawab. Jati diri mesti kuat.

“Jangan hanyut dengan cabaran dunia seni yang penuh dugaan. Jangan lupa mak ayah kerana itu paling penting,” kongsinya.

Tambah Siti, Umairah bukan sahaja mempunyai masa depan yang cerah sebagai anak seni malah dia juga mempunyai potensi yang cemerlang dalam pelajaran.

“Jangan sia-siakan bakat yang dikurniakan Allah. Umairah ada masa depan cerah dan saya percaya dia dilahirkan untuk menghiburkan.

“Namun dalam masa sama, jangan lupakan pelajaran kerana dia juga mempunyai potensi cemerlang dalam bidang akademik,” ujarnya.

Siti berkata demikian ketika ditemui di majlis pelancaran lagu terbaharu Umairah yang berjudul Sayap ciptaan Resa Husin dan Farouk Roman.

Single Sayap boleh didengari di semua platform digital manakala muzik video arahan Rifaiee Omar dari Rio Films Production dapat ditonton menerusi saluran YouTube Universal Music Malaysia.-UTUSAN





Source link