Semua operasi penerbangan membabitkan pesawat tempur jenis F/A 18D Hornet milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang gantung sebelum ini, ditarik balik berkuat kuasa hari ini.
Keputusan itu diumumkan Panglima TUDM, Muhamad Norazlan Aris, ketika sidang media di Pangkalan TUDM Kuantan, Pahang.
Dia memaklumkan, penarikan balik operasi berkenaan dibuat selepas TUDM meneliti hasil siasatan awal membabitkan insiden pesawat tempur terbabit yang terhempas ketika berlepas pada 21 Ogos lalu.
“Lembaga siasatan melaksanakan siasatan terperinci sejak 22 Ogos lalu dengan bantuan Institut Penyelidikan Sains dan Teknologi Pertahanan (Stride), Jabatan Kimia, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan pihak Tentera Laut AS (US Navy).
“Hasil siasatan memberi keyakinan bahawa kemalangan itu disebabkan kegagalan fungsi enjin kiri akibat bird strike ketika pesawat tersebut berlepas.
“Sehubungan itu, saya ingin memaklumkan pengoperasian pesawat F/A 18D Hornet diteruskan seperti biasa,” katanya.
Muhamad Norazlan juga memaklumkan mengenai laporan mengenai kehadiran sekumpulan burung di ruang udara di sekitar Pangkalan TUDM Kuantan kira-kira tiga hari sebelum kemalangan itu berlaku.
Katanya, insiden membabitkan bird strike bukan perkara asing, namun kejadian pada 21 Ogos lalu adalah kali pertama mengakibatkan pesawat terhempas.
“Laporan mengenai kehadiran kumpulan burung itu dibuat pesawat komersial yang turut menggunakan landasan berdekatan Pangkalan TUDM Kuantan,” jelasnya.
Ditanya mengenai jenis burung yang terbabit dalam insiden itu, Muhamad Norazlan memberitahu, ia adalah burung spesies bangau paya yang dikenali sebagai purple heron.
Katanya, ia dikenal pasti dengan bantuan pihak Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan).
“Mereka (Perhilitan) juga membantu kami (lembaga siasatan) bagi mengetahui punca insiden ini,” ujarnya.
Sementara itu, ketika ditanya mengenai status anak kapal yang terbabit dalam kemalangan berkenaan, Muhamad Norazlan memberitahu, kedua-duanya dalam proses pemulihan dan dijangka dapat kembali bertugas 2 Okt ini.
Kemalangan pada malam 21 Ogos lalu itu melibatkan pesawat udara yang dioperasikan oleh juruterbang, Mejar Azhar Alang Kamarudin, 34, dan jurusensor senjata, Kapten Mohamad Izzuddin Mohamad Salleh, 28.
Azhar mengalami kecederaan kesan terbakar pada bahagian kaki kiri, manakala Mohamad Izzuddin pula hanya dikesan mempunyai kesan lebam-lebam pada beberapa bahagian badan.