Malaysia Airlines cipta sejarah, penerbangan dikendalikan semua petugas wanita
Penerbangan MH2610 Malaysia Airlines (MAS) dari Kuala Lumpur ke Kota Kinabalu mencipta sejarah tersendiri apabila dioperasikan sepenuhnya oleh petugas wanita, yang melibatkan operasi di darat sehingga ke kokpit.
Setiap aspek penerbangan, daripada proses daftar masuk, jurutera, pegawai keselamatan, anak kapal dan juruterbang, dikendalikan sepenuhnya oleh wanita, sekali gus mencerminkan kecekapan, kepimpinan dan keupayaan golongan wanita dalam sektor penerbangan.

“Dengan wanita kini merangkumi 36 peratus daripada tenaga kerja Malaysia Aviation Group, melepasi sasaran inisiatif 25by2025 oleh Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA), pencapaian ini bukan sekadar kemajuan, ia juga satu peringatan bahawa langit bukan lagi sempadan,” kata MAS menerusi hantaran di Facebook semalam
MAS turut menyatakan harapan agar penerbangan bersejarah itu menjadi inspirasi kepada warga kerja dan generasi akan datang dalam bidang penerbangan untuk terus bercita-cita tinggi serta berani menongkah arus dan mencabar batasan sedia ada.
– Bernama