Pemimpin akar umbi Umno Wilayah Persekutuan Gulam Muszaffar Gulam Mustakim hari ini menyerang Menteri Wilayah Persekutuan Zaliha Mustafa dalam isu pengagihan jawatan dalam Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) di ibu kota.
Serangan itu dibuat sehari selepas ketua Umno bahagian Batu itu meletakkan jawatan dalam Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) yang diterajui Zaliha, semalam.
Gulam Muszaffar mendakwa Zaliha melanggar pekeliling sendiri dalam pelantikan pengerusi sub zon MPP di Wilayah Persekutuan.
Dia malah berkongsi kriteria pelantikan, yang antaranya menyebut bahawa komposisi sub zon MPP terdiri daripada lima wakil parti yang menang dan satu wakil dari parti kerajaan perpaduan.

Dia justeru mempertahankan tindakannya meletakkan jawatan sebagai tanda protes semalam.
“Setidak-tidaknya tindakan kami ini adalah menunjukkan value (nilai) dan harga diri yang Umno Batu tidak boleh dibuli,” katanya.
Semalam Gulam Muszaffar berkata dia meletakkan jawatan serta-merta susulan keputusan bahagian itu memutuskan hubungan politik dengan Pakatan Harapan (PH).
Selain isu jawatan itu, dia juga mendakwa Anggota Parlimen Batu P Prabakaran daripada PKR tidak pernah memberikan peruntukan kepada Umno untuk membuat kerja-kerja di parlimen Batu.