IPOH: Bekas warden asrama sebuah maahad tahfiz di Ipoh dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua pertuduhan pindaan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang remaja lelaki, lima tahun lalu.
Hakim Jean Sharmila Jesudason membuat keputusan itu selepas pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap Muhammad Ikbal Izzuddin Abd. Rahim, 29, di akhir kes pendakwaan.
Dalam penghakimannya Jean Sharmila berkata, keputusan itu dibuat selepas melihat fakta-fakta kes bagi pembuktian elemen pertuduhan dan penilaian maksimum ke atas keterangan yang dikemukakan oleh pihak pendakwaan.
Katanya, mahkamah mendapati terdapat percanggahan dan kelompongan dalam kes pendakwaan yang mana perkara itu tidak dijelaskan sama ada melalui siasatan pihak polis dan keterangan saksi-saksi pendakwaan.
“Perkara ini telah menimbulkan keraguan munasabah kepada mahkamah. Maka mahkamah mendapati pihak pendakwaan telah gagal membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh.
“Oleh itu, mahkamah ini memerintahkan agar tertuduh dilepas dan dibebaskan tanpa dipanggil untuk membela diri bagi kedua-dua pertuduhan,” katanya.
Dalam prosiding itu, mahkamah turut memerintahkan wang jaminan dikembalikan semula kepada tertuduh.
Mengikut pertuduhan pindaan pertama dan kedua, Muhammad Ikbal Izzuddin yang juga guru di maahad tahfiz tersebut didakwa melakukan amang seksual fizikal bagi maksud seksual terhadap remaja lelaki yang ketika itu berusia 13 tahun.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu pada pukul 3 pagi di asrama pelajar lelaki sebuah maahad tahfiz di Ipoh pada Februari 2020.
Pendakwaan ke atas tertuduh dikemukakan mengikut Seksyen 14 (a) dan Seksyen 14 (d)Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan dan dibaca bersama Seksyen 16 akta yang sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan.
Tertuduh diwakili peguam-peguam bela, Aliff Aiman Rusli dan Izzat Fakhri Halimi.
Seramai 10 saksi pendakwaan telah memberi keterangan termasuk mangsa dan ibunya sejak kes mula didakwa di mahkamah pada Jun 2020. – UTUSAN