Kemaskini Mod Skrin Penuh Xbox Mode “Tertiris” Untuk Konsol PC Mudah-Alih
Nazrin
Microsoft dijangka akan memperkenalkan mod skrin penuh Xbox Mode pada konsol ASUS Xbox ROG Ally mereka apabila ia dilancarkan kelak, tetapi mod tersebut, yang dibina khusus untuk semua peranti konsol PC mudah-alih nampaknya sudahpun tertiris pada semua konsol PC tersebut tanpa perlu menunggu untuk pengumuman rasmi.
Jika anda memiliki sebuah konsol PC mudah-alih seperti ASUS ROG Ally, Lenovo Legion Go ataupun MSI Claw, anda boleh mengemaskini konsol anda dengan kemaskini Windows 11 25H2 terbaru melalui program Release Preview yang membolehkan anda memuat-turun dan menguji kemaskini akan datang secara lebih awal.

Dengan Xbox Mode, secara ringkasnya anda akan mengaktifkan Xbox App secara terus apabila anda menghidupkan konsol anda. Anda tidak akan dibawa ke antaramuka Windows 11 yang biasa, dan bahagian Explorer tidak akan digunakan. Secara teorinya, ini akan membebaskan lebih banyak memori dan kemampuan CPU yang boleh dimanfaatkan oleh permainan-permainan terbina untuk pengalaman gaming yang lebih lancar.
Ini adalah selari dengan laporan kami semalam bahawa aplikasi Xbox PC telah dikemaskini dengan kebolehan untuk memperlihatkan permainan daripada pelbagai gedung permainan yang berlainan.
Jika anda berminat untuk mencuba ciri ini pada konsol anda, anda boleh menggunakan panduan ini untuk memuat-turun kemaskini terbaru tersebut. Perlu diingatkan bahawa ini boleh menyebabkan konsol anda untuk beroperasi pada tahap yang tidak optima. Anda juga boleh memilih untuk menunggu untuk ciri ini tiba secara rasmi.
Komen
Sila log masuk untuk menghantar komen.