Pertikaian yang semakin meruncing antara Petronas dan kerajaan Sarawak dilaporkan telah menggugat keyakinan pelabur asing, susulan tindakan mengejut syarikat minyak AS, ConocoPhillips menarik diri daripada projek utama minyak dan gas laut dalam di luar pesisir Malaysia Timur.
Syarikat Amerika itu dilaporkan berundur secara senyap daripada usaha sama dengan Petronas di medan minyak dan gas Salam-Patawali — sebuah projek bernilai RM13.7 bilion (US$3.13 bilion) yang ditemui pada 2018 — menurut laporan Upstream Online pada 15 April, yang kemudian disahkan oleh dua sumber industri yang rapat dengan syarikat tersebut, lapor CNA.
Penarikan diri ConocoPhillips, yang tidak banyak dilaporkan olehmedia Malaysia, tetapi digambarkan sumber sebagai sebahagian “kajian semula strategi negara” namun tidak memberikan butiran lanjut.
Cubaan CNA untuk menghubungi eksekutif syarikat itu di Kuala Lumpur tidak berjaya.

Menurut laporan itu, pemain industri memberi bayangan keputusan tersebut turut dipengaruhi oleh ketidakpastian peraturan yang berpunca daripada ketegangan antara Petronas dan pentadbiran Sarawak di bawah Premier Abang Johari Openg, yang berusaha mendapatkan kawalan lebih besar ke atas sumber minyak dan gas negeri melalui syarikat milik negeri, Petroleum Sarawak Berhad (Petros).
“Syarikat asing tidak selesa kerana mereka melihat Petronas berada di bawah tekanan di Sarawak, dan Petronas sering menjadi rakan usaha sama dalam banyak projek penerokaan,” kata seorang eksekutif kanan sebuah syarikat kontraktor minyak Barat yang berpangkalan di Kuala Lumpur.
CNA memetik data helaian fakta ConocoPhillips April 2024, yang menunjukkan syarikat itu mempunyai kepentingan di kawasan seluas 2.7 juta ekar bersih di Malaysia, termasuk enam kontrak perkongsian pengeluaran, semuanya dengan Petronas sebagai rakan usaha sama.
Blok Salam-Patawali itu sendiri meliputi 300,000 ekar bersih di selatan Sarawak.

Kerja di medan minyak dan gas laut itu menunjukkan kemajuan sehingga tahun 2023, dengan kaji selidik seismik 3D telah dijalankan dan data kini sedang dinilai.
Menurut perjanjian standard, syarikat minyak swasta mesti memulangkan hak penerokaan kepada Petronas sekiranya mereka meninggalkan rancangan pembangunan.
Pelabur takut, tuduhan perisikan
Penarikan diri ConocoPhillips mengikuti trend beberapa syarikat asing yang menilai semula kehadiran mereka di Sarawak, termasuk langkah terdahulu oleh syarikat Thailand, PTTEP untuk menstruktur semula projek gas Lang Lebah bernilai RM28.6 bilion di luar Sarawak bagi “meningkatkan daya ekonomi”.
Sumber memberitahu CNA bahawa PTTEP telah menggantung sementara pembangunan dan menangguhkan keputusan pelaburan akhir mereka ke tahun 2025.

Sementara itu, laporan itu turut menunjukkan kesan pertikaian Sarawak-Petronas menjadi lebih mendalam, dengan tuduhan perisikan korporat turut timbul.
Laporan tersebut merujuk pertuduhan yang difailkan pada 18 April terhadap bekas pengurus Petronas, Khairul Akmal Jasni, yang didakwa cuba membocorkan dokumen sulit bertajuk “Q1 2024 Upstream Business Performance, Operational & Financial” kepada Petros.
Memetik seorang pembantu kanan yang tidak dinamakan, CNA melaporkan pihak pengurusan Petronas telah memaklumkan kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim tetapi “kedua-dua pihak” — Petronas dan Petros — kekal “tegas dengan pendirian mereka”.
Seorang pegawai Petronas juga mengesahkan perbincangan dengan kerajaan Sarawak, yang bermula pada April 2023, tidak menunjukkan kemajuan sejak ia ditangguhkan pada Disember lalu.

Sarawak mencabar Akta Pembangunan Petroleum 1974 (PDA), yang memberikan Petronas kawalan penuh ke atas sumber hidrokarbon Malaysia.
Negeri itu berhujah PDA tidak terpakai dalam bidang kuasanya dan sebaliknya menegaskan penggunaan Ordinan Perlombongan Minyak 1958, yang memberikan kuasa ke atas minyak dan gas dalam jarak 200 batu nautika dari pantai Sarawak.
Sarawak mendakwa ia memegang 60.87 peratus dari rizab petroleum yang dikenal pasti dan berkemungkinan ada di Malaysia serta menyumbang 90 peratus eksport gas asli cecair (LNG) negara.
Kesan ekonomi pada Sarawak
Menurut CNA, usaha sama ConocoPhillips-Petronas dijangka mencapai pengeluaran puncak pada 2028, dengan jangka hayat ekonomi projek itu sehingga 2067, berdasarkan laporan Offshore Technology.
Syarikat AS itu masih mengendalikan blok SK304 di Sarawak, meliputi medan seluas 1.1 juta ekar bersih namun penerokaan di kawasan tersebut masih pada peringkat awal.
Dalam pada itu, CNA turut memetik pertikaian undang-undang lain yang sedang berlangsung, termasuk saman Petros terhadap Petronas di Mahkamah Tinggi Kuching mengenai bayaran RM7.05 juta berkaitan jaminan bank di bawah perjanjian jual beli gas 2019.
Petros berhujah perjanjian tersebut tidak sah kerana Petronas tidak memiliki lesen negeri yang diperlukan.
Secara berasingan, Shell MDS Malaysia memperoleh injunksi mahkamah pada Januari untuk meneruskan penerimaan bekalan gas daripada Petronas walaupun terdapat pertikaian berterusan dengan Petros, bagi mengelakkan gangguan operasi di fasiliti mereka di Bintulu.
Walaupun banyak projek sedia ada masih tidak terjejas, CNA melaporkan pemain industri memberi amaran ketegangan yang belum diselesaikan mungkin menakutkan pelabur berpotensi.
“Petros dan syarikat E&P (syarikat penerokaan dan pengeluaran) berpusat di Sarawak masih belum mempunyai kapasiti yang mencukupi dan ini menjadikan mereka kurang menarik tanpa penyertaan Petronas,” kata CEO sebuah firma kejuruteraan tersenarai yang mempunyai hubungan lama dengan gergasi minyak nasional itu.
Dia berkata cabaran segera bagi Sarawak untuk kerajaan negeri itu segera mencari kontraktor pengganti projek medan Salam-Patawali.