Situasi banjir di Sabah bertambah buruk dengan peningkatan jumlah mangsa yang berlindung di pusat pemindahan sementara (PPS) pagi ini.
Jumlah mangsa meningkat kepada 3,134 orang daripada 916 keluarga berbanding 2,919 orang daripada 814 keluarga petang semalam.
Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sabah dalam kenyataan hari ini memaklumkan kesemua mangsa ditempatkan di 27 PPS melibatkan enam daerah iaitu Beaufort, Membakut, Penampang, Papar, Putatan dan Sipitang.
“Daerah Sipitang menunjukkan trend peningkatan jumlah mangsa banjir manakala Beaufort, Papar dan Putatan jumlah mangsa kekal, sementara Penampang dan Membakut menurun.
“Sebanyak 127 buah kampung turut terjejas berikutan bencana banjir melanda negeri Sabah sejak 9 Sept lalu,” menurut kenyataan itu.
Jabatan Meteorologi Malaysia meramalkan berlaku ribut petir di beberapa tempat pada sebelah pagi dan petang di Sabah manakala pada sebelah malam, ribut petir dijangka melanda beberapa tempat di pedalaman.
JPBN Sarawak pula memaklumkan lapan orang daripada sebuah keluarga masih berlindung di PPS Dewan Suarah Marudi yang dibuka pada 2 petang semalam.
Sementara itu, seramai 103 orang daripada 27 keluarga yang ditempatkan di Dewan Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) Keetee, Long Lama di Daerah Telang Usan telah dibenarkan pulang ke rumah masing-masing selepas PPS itu ditutup pada 4 petang semalam.
– Bernama