Malaysia Oversight

Mangsa banjir Sabah meningkat lebih 3,000 orang di pusat pemindahan

By TheSun in September 18, 2025 – Reading time 1 minute
Mangsa banjir Sabah meningkat lebih 3,000 orang di pusat pemindahan


KOTA KINABALU: Jumlah mangsa banjir di Sabah terus meningkat kepada 3,134 orang daripada 916 keluarga yang sedang berlindung di pusat pemindahan sementara pagi ini.

Angka terkini menunjukkan peningkatan berbanding 2,919 orang daripada 814 keluarga yang dilaporkan petang semalam.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah memaklumkan kesemua mangsa ditempatkan di 27 pusat pemindahan melibatkan enam daerah terjejas.

Daerah terlibat termasuk Beaufort, Membakut, Penampang, Papar, Putatan dan Sipitang dengan situasi berbeza mengikut lokasi.

“Daerah Sipitang menunjukkan trend peningkatan jumlah mangsa banjir manakala Beaufort, Papar dan Putatan jumlah mangsa kekal.

“Penampang dan Membakut pula mencatatkan penurunan jumlah mangsa di pusat pemindahan,” menurut kenyataan rasmi.

Sebanyak 127 buah kampung telah terjejas akibat bencana banjir yang melanda negeri Sabah sejak 9 September lalu.

Jabatan Meteorologi Malaysia meramalkan ribut petir akan berlaku di beberapa tempat pada sebelah pagi dan petang di Sabah.

Ribut petir juga dijangka melanda beberapa kawasan pedalaman negeri itu pada sebelah malam.

Di Sarawak, lapan orang daripada sebuah keluarga masih berlindung di Pusat Pemindahan Sementara Dewan Suarah Marudi.

Pusat pemindahan tersebut dibuka pada jam 2 petang semalam untuk menampung mangsa banjir di kawasan berkenaan.

Seramai 103 orang daripada 27 keluarga yang ditempatkan di Dewan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Keetee, Long Lama telah dibenarkan pulang.

Pusat pemindahan di Daerah Telang Usan itu telah ditutup pada jam 4 petang semalam setelah situasi kembali normal. – Bernama



Source link