Malaysia Oversight

Kompleks Maipk bakal jadi mercu tanda Melayu

By MkiniBM in September 18, 2025 – Reading time 2 minute
Kompleks Maipk bakal jadi mercu tanda Melayu


Sebanyak RM74.67 juta diperuntukkan bagi pembinaan Kompleks Pentadbiran dan Pusat Komersial (KPPK) Majlis Agama dan Adat Melayu Perak (MAIPk) yang dijangka siap sepenuhnya pada April 2028.

Yang Dipertua MAIPk Tan Sri Mohd Annuar Zaini berkata kompleks setinggi enam tingkat itu akan dilengkapi dua tingkat bawah tanah yang menempatkan 314 petak parkir kereta dan 70 petak parkir motosikal, selain mempunyai ruang pejabat, kawasan komersial serta satu aras khusus untuk Galeri Warisan.

“MAIPk berhasrat agar KPPK bukan sahaja menjadi pusat pentadbiran moden, malah turut berfungsi sebagai mercu tanda warisan yang mencerminkan jati diri masyarakat Melayu Perak.

“Projek berkenaan membuktikan komitmen pihaknya untuk memelihara warisan seni bina Melayu di samping memenuhi keperluan pentadbiran moden,” katanya ketika berucap pada Majlis Doa Selamat dan Mula Kerja Pembinaan KPPK MAIPk di Ipoh hari ini.

Terdahulu, perasmian majlis berkenaan disempurnakan oleh Mufti Perak Datuk Seri Wan Zahidi Wan Teh.

Mohd Annuar berkata projek itu mendapat inspirasi daripada motif rumah tradisional Perak, khususnya Rumah Kutai dalam usaha mengangkat nilai warisan yang semakin terpinggir dalam arus pembangunan moden.

“Antara ciri utama bangunan ialah bumbung lima yang sinonim dengan reka bentuk rumah tradisional Perak, selain ukiran kayu halus pada tiang, siling dan tingkap yang mencerminkan ketukangan masyarakat Melayu.

“Bangunan itu juga mengekalkan elemen tingkap dengan peneduh suria yang berperanan sebagai kawalan cahaya dan haba, selain penggunaan bahan tradisional bagi mengekalkan keaslian rupa bentuk warisan,” katanya.

Beliau berkata pembangunan KPPK akan menjadi penanda aras baharu dalam pendekatan yang menggabungkan nilai tradisi dan modenisasi sekali gus memenuhi agenda memulihara budaya serta warisan Melayu.

“Kompleks ini bukan sahaja akan berfungsi sebagai pusat urusan pentadbiran, malah dirancang menjadi satu daripada lokasi tarikan pelancong, pendidikan serta sejarah untuk generasi,” katanya.

– Bernama



Source link