Di Malaysia, kontroversi mengenai status halal makanan kerap timbul – sama ada berkaitan pensijilan halal, nama makanan atau siapa yang menyediakannya.
Panduankini menghuraikan asas peraturan halal serta perkara penting yang perlu diketahui sama ada anda yang makan atau memasak.
Apa itu halal?
Dalam bahasa Arab, halal bermaksud “dibenarkan” dan dalam konteks gastronomi, ia merujuk kepada makanan yang dibenarkan untuk dimakan oleh orang Islam.

Dalam Islam, banyak perkara hukumnya harus kecuali ada larangan yang menjadikannya haram.
Dalam hal ini, terdapat empat sumber utama yang dirujuk umat Islam untuk menentukan sesuatu makanan itu halal atau haram – al-Quran, hadis (sabda Nabi Muhammad SAW), serta ijmak ulama dan qiyas untuk perkara-perkara yang tidak dijelaskan secara khusus.
Bagi tujuan panduan ini, memandangkan kita berada di Malaysia, kebanyakan ijmak ulama berdasarkan mazhab Syafie kecuali dinyatakan sebaliknya.
Al-Quran secara khusus mengharamkan babi, darah, bangkai (haiwan yang mati sendiri), haiwan yang disembelih atas nama selain Allah, haiwan yang dipukul atau dicekik hingga mati, serta arak dan bahan memabukkan lain.

Bagi daging, al-Quran menetapkan nama Allah mesti disebut ketika penyembelihan manakala makanan laut dibenarkan.
Hadis pula melarang memakan haiwan pemangsa yang bertaring, serta burung pemangsa yang mencengkam mangsa dengan kuku, termasuk helang, burung hantu dan ular.
Jadi ayam dan lembu semuanya halal?
Seperti disebut, haiwan darat yang dibenarkan mesti disembelih dengan menyebut nama Allah.

Dalam praktiknya, ada syarat tambahan – penyembelih mesti beragama Islam dan pisau mesti tajam agar proses cepat dan tidak menyakitkan.
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) membenarkan kaedah renjatan elektrik terkawal untuk menyembelih dengan garis panduan ketat di bawah seliaan orang Islam.
Oleh itu, ayam, itik, atau lembu yang halal boleh menjadi tidak halal jika tidak memenuhi syarat Islam.
Di Malaysia, kebanyakan ayam, itik dan daging lembu di pasar raya adalah halal.
Bagaimana pula dengan ikan?
Al-Quran membenarkan makanan laut, tetapi tidak menyatakan jenis tertentu.
Mazhab Syafie berpendapat semua makanan laut adalah halal, kecuali yang beracun atau boleh hidup lama di darat.
Ini bermakna kebanyakan ketam halal dimakan kerana ia tidak boleh hidup lama di darat.

Bagaimana dengan katak dan haiwan ‘dua alam’?
Haiwan dua alam seperti katak, buaya dan penyu dianggap haram dalam mazhab Syafie.
Namun, telur penyu dilihat harus, walaupun ulama kontemporari seperti bekas mufti Wilayah Persekutuan Zulkifli Mohamad tidak menggalakkannya kerana faktor undang-undang dan status penyu yang terancam.
Bagaimana dengan alkohol?
Minuman beralkohol diharamkan dalam Islam.
Ini termasuk penggunaan wain dalam masakan, walaupun alkoholnya telah menguap kerana arak dianggap najis dan mencemarkan makanan halal.

Namun ada pengecualian – cuka daripada wain yang terhasil secara semula jadi dibenarkan.
Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan juga membenarkan alkohol sebagai penstabil makanan jika kurang daripada 0.5 peratus dan bukan hasil sampingan pembuatan arak.
Makanan yang terhasil melalui penapaian seperti tapai juga dibenarkan selagi tidak memabukkan.
Bolehkah orang Islam makan makanan dimasak bukan Islam?
Secara umum, jika bahan masakan halal dan tiada pencemaran silang dengan babi, lemak babi atau arak, maka tiada larangan.
Namun, pencemaran silang boleh berlaku bukan sahaja daripada bahan campuran tetapi juga daripada peralatan dapur yang tidak dibersihkan dengan betul.
Oleh itu, ramai Muslim berhati-hati makan di tempat yang menyajikan babi kerana wujud keraguan (syubhah).

Adakah perlu samak pinggan yang terkena babi?
Secara asasnya, pinggan mangkuk atau periuk yang kelihatan bersih dianggap suci.
Tetapi jika terbukti digunakan untuk babi, pandangan majoriti mazhab Syafie ialah ia perlu disertu – basuh sekali dengan air bercampur tanah dan enam kali dengan air bersih.
Namun, ada pandangan kedua dalam mazhab Syafie seperti yang dibawa Mufti Perlis Mohd Asri, bahawa cukup dicuci biasa hingga tiada kesan.
Bagi alkohol pula, memadai dengan cucian biasa hingga tiada kesan.
Untuk bukan Islam yang mahu lebih berhati-hati semasa rumah terbuka, pinggan pakai buang atau katering halal menjadi pilihan.
Apa itu darurat?
Dalam keadaan darurat – khususnya melibatkan nyawa – larangan makanan haram boleh diketepikan.
Contohnya, orang yang sesat di hutan dan hampir mati kelaparan boleh makan babi untuk terus hidup.

Adakah makanan halal jadi haram jika dibeli guna wang orang bukan Islam?
Secara umum, tidak. Ia kekal halal kecuali diketahui wang itu datang daripada sumber haram seperti judi, rompakan atau pelacuran.
Namun, tidak perlu bertanya sumber wang tersebut.
Adakah nama makanan beri kesan?
Kontroversi pernah timbul tentang nama makanan seperti “pretzel dog” atau “ham”.
Secara prinsip, nama tidak menentukan halal atau haram, sebaliknya kandungan yang penting.
Namun untuk pensijilan halal Jakim, nama produk diambil kira.

Apa itu pensijilan dan logo halal?
Pensijilan halal ialah proses pengesahan oleh pihak berkuasa Islam bahawa sesuatu produk, restoran, atau kilang makanan memenuhi syarat halal termasuk aspek kebersihan.
Mereka yang mendapat pensijilan berhak menggunakan logo halal.
Di Malaysia, pensijilan ini dikeluarkan oleh Jakim.
Adakah makanan perlu sijil halal untuk dikira halal?
Tidak. Makanan boleh halal tanpa sijil halal.
Tetapi pensijilan halal adalah tanda kepercayaan.
Di Malaysia, menyalahgunakan logo halal adalah kesalahan jenayah.

Bagaimana proses pensijilan halal Jakim?
Ia meliputi keseluruhan rantaian bekalan, daripada bahan mentah hingga penyediaan, bagi memastikan piawaian halal dan kebersihan dipatuhi.
Jika guna bahan halal, boleh terus guna logo halal?
Tidak. Guna bahan halal tidak bermakna produk atau restoran automatik mendapat sijil halal.
Setiap produk atau premis perlu diperakui secara berasingan oleh Jakim.

Adakah nama makanan beri kesan kepada pensijilan halal?
Ya. Garis panduan Jakim 2020 menyatakan produk, menu atau jenama yang dinamakan sama atau sinonim dengan makanan tidak halal tidak layak mendapat pensijilan halal.
Contohnya root beer, ham, hot dog, bacon, bak kut teh, char siew, gyoza, ramen, merlot, margarita, tequila dan lain-lain.
Namun, pengecualian boleh dibuat jika ada penjelasan tambahan seperti “carbonara ramen”, “chicken gyoza” atau “beef sausage cocktail”.