Malaysia Oversight

KPT nafi dakwaan gagal utamakan pelajar tempatan dalam IPT

By TheSun in September 18, 2025 – Reading time 2 minute
KPT nafi dakwaan gagal utamakan pelajar tempatan dalam IPT


: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menafikan dakwaan kononnya gagal mengutamakan kepentingan pelajar tempatan khususnya dalam mendapatkan peluang pendidikan di institusi pendidikan tinggi (IPT) tempatan.

Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi Datuk Prof Dr Azlinda Azman berkata kenyataan wakil rakyat pembangkang Dr Haim Hilman Abdullah jelas tidak berasas serta tidak sepatutnya mengeluarkan kenyataan seumpama itu yang boleh mengelirukan masyarakat tentang dasar pengantarabangsaan pendidikan tinggi negara.

“Kami tertanya-tanya kerana beliau juga seorang mantan Naib Canselor Universiti Utara Malaysia dan seharusnya fahamlah tentang bagaimana universiti beroperasi, setakat mana jumlah peratusan pelajar yang melibatkan pelajar tempatan dan pelajar antarabangsa.

“Kami sangat menjaga kepentingan anak-anak tempatan, tak pernah sekali pun kami terfikir untuk menganaktirikan seperti yang dikatakan pepatah ‘kera di hutan disusukan anak sendiri mati kelaparan’,” katanya pada sidang media khas di sini hari ini.

Haim Hilman membuat dakwaan itu pada Muktamar Tahunan kali ke-71 di Kompleks Kedah, Alor Setar, Kedah pada Isnin lepas.

Azlinda berkata jumlah kemasukan pelajar antarabangsa bagi program prasiswazah di lima universiti penyelidikan seperti Universiti Malaya, Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti Putra Malaysia, Universiti Sains Malaysia dan Universiti Teknologi MARA adalah terhad dengan keutamaan diberikan kepada pelajar tempatan.

Beliau berkata jumlah pelajar tempatan di lima universiti itu adalah 91.6% berbanding 8.4% pelajar antarabangsa.

“Fokus utama di peringkat program prasiswazah adalah kepada program ijazah sarjana muda dan subsidi disediakan oleh kepada anak-anak tempatan sahaja,” katanya.

Mengenai program pascasiswazah merangkumi ijazah sarjana dan ijazah kedoktoran, Azlinda berkata kemasukan bersifat terbuka dengan tiada had kemasukan pelajar antarabangsa kerana setiap universiti awam menerusi dasar pengantarabangsaan pendidikan tinggi giat mempromosikan universiti masing-masing selaras Pelan Pembangunan Pendidikan Tinggi Malaysia (2015-2025).

“Ingin ditegaskan, dasar pengantarabangsaan pendidikan tinggi ini tidak sesekali mengabaikan peluang dan akses pendidikan kepada anak tempatan,” katanya.

Memetik kenyataan Haim pada 11 Oktober 2022 ketika memegang jawatan Naib Canselor UUM, Azlinda berkata Haim telah memaklumkan kepada media tempatan bahawa UUM mencatat peningkatan kemasukan pelajar antarabangsa sebanyak 13.97% bagi sesi 2022/2023.

“Kenyataan ini jelas menunjukkan bahawa beliau sendiri ketika menjadi Naib Canselor bersetuju dan mengaplikasikan dasar pengambilan antarabangsa di UUM,” katanya. – Bernama



Source link