KANGAR: Universiti Malaysia Perlis (Unimap) meneruskan komitmen memastikan kebajikan pelajar terus menjadi keutamaan universiti berkenaan.
Ia seiring dengan hasrat Unimap melahirkan graduan yang bukan sahaja cemerlang dalam bidang akademik, tetapi juga mempunyai jaminan sokongan sepanjang pengajian.
Naib Canselor Unimap, Datuk Prof. Dr. Zaliman Sauli berkata, pelbagai inisiatif kebajikan telah disusun bagi memastikan pelajar tidak terbeban dengan isu kewangan mahupun logistik, khususnya bagi mereka yang datang daripada keluarga kurang berkemampuan.
Katanya, antara inisiatif termasuklah bantuan pengangkutan untuk pelajar yang menghadapi kesukaran dari lapangan terbang ke kampus, penangguhan bayaran yuran bagi meringankan beban kewangan pada awal sesi pendaftaran dan tawaran biasiswa dermasiswa Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) sebagai sokongan berterusan kepada pelajar.
“Antara lain, Program Ziarah Kasih Unimap yang membolehkan pengurusan universiti turun padang menyantuni pelajar dan keluarga. Usaha berterusan ini adalah sebahagian daripada tanggungjawab universiti dalam mendukung aspirasi negara bagi memastikan akses pendidikan tinggi lebih inklusif.
“Unimap juga percaya bahawa tiada pelajar harus tercicir hanya kerana kesulitan kewangan atau kekangan hidup. Universiti akan terus memastikan setiap mahasiswa mendapat ruang yang sama untuk berjaya,” katanya.
Katanya, antara mereka yang pernah menerima manfaat seperti seorang bakal pelajar, Muhammad Nazhan Zainal Abidin, 20, yang merupakan anak yatim piatu.
Katanya, meskipun kehilangan kedua ibu bapa sejak di bangku sekolah menengah dan kemudiannya tinggal bersendirian selepas pemergian nenek, Nazhan tetap meneruskan pengajian hingga ke tingkatan enam dan kini berjaya melanjutkan pelajaran ke Unimap.
“Dengan tawaran biasiswa dermasiswa TVET serta bantuan tambahan yang disediakan Unimap, Nazhan kini lebih bersedia untuk memulakan kehidupan sebagai mahasiswa,” katanya.
Pada minggu hadapan, Zaliman dijadual mengadakan kunjungan Ziarah Kasih Unimap ke kediamannya di Pendang bagi menyampaikan sokongan moral dan keprihatinan pihak universiti.
“Semangat juang yang ditunjukkan oleh Nazhan adalah contoh ketabahan anak muda yang wajar dicontohi dan diteladani. Unimap akan terus memastikan sokongan holistik diberi agar pelajar seperti beliau dapat memberi tumpuan sepenuhnya kepada pelajaran,” katanya.-UTUSAN