Bukan sekadar menyanggah, malah PAS ‘mencabar’ Bersatu agar memberi butiran lebih jelas mengenai dakwaan parti itu menyalurkan sumbangan kewangan semasa PRU lalu.
Naib Presiden PAS merangkap Ketua Pengarah Pilihan Raya PN, Muhammad Sanusi Md Nor, dilaporkan berkata partinya itu tidak bergantung kepada sumber kewangan Bersatu.
Sebaliknya, kata Sanusi, PAS – khususnya di Kedah – membiayai kos perbelanjaan menghadapi PRU ke-15 dengan sumber kewangan sendiri.
Dipetik portal berita FMT, Sanusi dilaporkan mendakwa, kos membiayai gerak kerja parti itu dikendalikan dengan dana yang dipungut daripada sumbangan ahli di peringkat unit peti undi (UPU).
Selain itu, katanya, dana juga dikumpulkan daripada sumbangan “tin Milo” daripada ahli lain.
“Tin Milo” merupakan istilah yang dikaitkan dengan tradisi PAS mengumpul derma semasa sesuatu program berjalan, termasuk ceramah politik.
“Tanya dia duit itu bagi dekat siapa? Saya pun teringin nak tahu,” katanya.
Sanusi yang juga Menteri Besar Kedah memberi reaksi kepada kenyataan bekas Ketua Setiausaha Sulit Muhyiddin Yassin sewaktu Presiden Bersatu itu menjadi perdana menteri.
Siang tadi Marzuki Mohamad menyanggah kenyataan dibuat Sanusi semasa menggulung perbahasan di akhir Muktamar PAS ke-71 di Alor Setar semalam.
Dalam ucapannya Sanusi menyindir Bersatu yang dianggap mendapat jalan mudah bertanding dalam pilihan raya kerana menumpang kemudahan dan jentera yang ada pada PAS.
Dalam keadaan begitu pun, Sanusi berkata, parti terbabit mahu menjadi pemimpin PN. Dia juga memberi isyarat bahawa ada banyak lagi isu yang boleh diungkit PAS berhubung kerjasama mereka selama ini.
Marzuki menjelaskan Bersatu turut menanggung kos perbelanjaan PN sewaktu mereka menyertai PRU ke-15 (PRU15) sehingga membuka ruang kepada PAS memenangi 43 kerusi parlimen.
“Perbelanjaan PN pula semuanya ditanggung oleh Bersatu.
“Malah Bersatu juga memberikan sumbangan kewangan yang bukan sedikit kepada PAS,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Sanusi, di Kedah PAS negeri itu menanggung sepenuhnya perbelanjaan yang diperlukan semasa PN menghadapi pilihan raya.
Malah dia mendakwa PAS negeri berkenaan turut membantu menyediakan peralatan serta perkakasan calon Bersatu.
“Seorang calon sahaja yang bayar balik kepada PAS Kedah yang mendahulukan bayaran kepada pembekal,” katanya lagi.