BUTTERWORTH: Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) memohon kerajaan mempertimbangkan pemansuhan permit kelulusan (AP) dan permit import (IP) bagi gula bertapis yang dijual di pasaran tempatan.
Pengerusi Felda Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek menyatakan Malaysia kini mengalami lebihan kapasiti pengeluaran gula dan tidak memerlukan kehadiran gula import.
Beliau menegaskan MSM Malaysia Holdings Berhad (MSM) sebagai pengeluar gula negara mengharapkan kerajaan memansuhkan AP dan IP gula tapis import kerana langkah membenarkan masuk memberi tekanan besar kepada pengeluar tempatan.
“Kita lihat di negara seperti Vietnam, Filipina, Thailand dan Indonesia, harga gula mereka jauh lebih mahal antara 5 hingga 8 ringgit sekilogram, tetapi gula mereka boleh dijual di Malaysia pada harga 2.85 ringgit,“ katanya.
Ahmad Shabery memberitahu pemberita selepas mengadakan tinjauan di kilang penapisan gula terbesar di Malaysia, MSM Perai dan melancarkan Gula Perai Edisi Khas Felda.
Beliau mendedahkan gula tapis import dibawa masuk ke Malaysia sekitar 60,000 hingga 70,000 tan setiap tahun untuk dijual terus dalam pasaran runcit tempatan.
Keadaan berterusan bukan sahaja akan menjejaskan operasi kilang di sini malah boleh menyebabkan kehilangan pekerjaan dan kerugian besar kepada negara dari sudut ekonomi jangka panjang.
“Bagi saya, apabila kita sudah mengeluarkan gula berlebihan daripada keperluan, jadi tidak ada keperluan untuk kita memberi apa-apa permit import kepada mana-mana pihak,“ katanya.
Pihaknya telah mengemukakan perkara itu kepada Kementerian Kewangan dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) agar tindakan susulan dapat diambil. – Bernama