Malaysia Oversight

Belajar membangunkan teknologi dari Haidian

By MkiniBM in September 17, 2025 – Reading time 3 minute
malaysiakini logo


ULASAN | Apabila disebut Haidian Science Park di Beijing, , mungkin ramai yang kurang mengenalinya. Namun, apabila disebut nama syarikat gergasi seperti ByteDance (TikTok), Xiaomi, atau Baidu, tentulah hampir semua orang tahu.

Menariknya, kesemua syarikat teknologi terbabit lahir dari kawasan Haidian yang sering digelar sebagai Lembah Silikon .

Haidian merupakan pusat inovasi yang menampung puluhan ribu syarikat teknologi, termasuk puluhan syarikat unicorn yang setiap satu bernilai lebih RM4.5 bilion. Malah, ekonomi daerah Haidian mencecah lebih RM650 bilion – bersamaan saiz ekonomi sebuah negara kecil di Eropah.

Sejarah perkembangannya bermula seawal 1980-an.

Baru-baru ini, saya bersama beberapa delegasi pemimpin muda dari negara-negara jiran berpeluang mempelajari secara langsung rahsia kejayaan pembangunan teknologi di Haidian.

tidak keberatan untuk berkongsi pengalaman mereka dengan matlamat agar pembangunan serantau dapat bergerak seiring.

Kejayaan Haidian dapat dijelaskan melalui beberapa faktor penting. Institusi pendidikan bertaraf dunia seperti Tsinghua University serta Peking University yang terletak berhampiran menjadi penyumbang utama kepada aliran bakat dalam bidang sains dan teknologi.

Setiap tahun, ribuan graduan terus menyertai syarikat teknologi atau menubuhkan syarikat permulaan (start-up) baru. Di samping itu, China memberi tumpuan kepada bidang teknologi hadapan seperti kecerdasan buatan (AI), semikonduktor, bioteknologi, komputer kuantum, metaverse, dan brain-computer interface.

Belum cukup menonjol

Ekosistem start-up yang dinamik turut menyumbang kepada perkembangan berkenaan apabila budaya berani mencuba dan tidak takut gagal membolehkan syarikat-syarikat baru terus lahir di sebalik kadar kegagalan yang tinggi.

Paling penting, dasar pembangunan teknologi China dilaksanakan secara tekal dan berterusan tanpa diganggu perubahan politik jangka pendek.

Pelaburan besar-besaran dilakukan melalui dana penyelidikan dengan kerjasama erat antara universiti, industri, dan pelabur.

Jika dibandingkan dengan Malaysia, sebenarnya negara ini turut mempunyai visi yang hampir sama. Cyberjaya – yang dilancarkan pada 1997 – dibayangkan sebagai Lembah Siliko Malaysia.

Pulau Pinang pula terkenal dengan kekuatan dalam industri semikonduktor, manakala Johor semakin menonjol sebagai hab pusat data serantau.

3560b8e25e2f57005e0b6ec36e39bb91

Bagaimanapun, perbezaan ketara masih wujud di antara Malaysia dan China.

Skala Cyberjaya hanyalah 29 km persegi manakala Haidian 174 km persegi. Itu pun untuk zon teras saja.

Industri Malaysia masih banyak tertumpu kepada sektor teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), perkhidmatan sumber luaran (outsourcing), semikonduktor, dan teknologi halal, tetapi belum cukup menonjol dalam bidang frontier technology yang menjadi pemacu masa depan.

Selain itu, institusi pengajian tinggi seperti Universiti Malaya, Universiti Putra Malaysia, Universiti Kebangsaan Malaysia, dan Universiti Sains Malaysia sebenarnya telah menghasilkan banyak penyelidikan berkualiti, namun sebahagian besarnya berakhir dalam bentuk penerbitan akademik.

Haidian pula berbeza kerana hasil penyelidikan dari universiti di sana terus diterjemahkan kepada produk yang boleh dipasarkan.

Ada asas yang kukuh

Malaysia turut memiliki dana, insentif, dan bakat yang berpotensi tetapi masalah birokrasi, penghijrahan tenaga pakar ke luar negara (brain drain), serta budaya politik yang tidak stabil menjadi penghalang kepada ekosistem inovasi yang lebih pesat.

Bagi memperkukuh kedudukan Malaysia dalam landskap teknologi global, beberapa perkara perlu diberi perhatian.

Hubungan antara universiti dan industri harus diperkasa agar penyelidikan tidak terhenti di peringkat akademik semata-mata, tetapi diterjemahkan menjadi produk baru dan syarikat pemula.

Malaysia juga perlu memilih bidang yang benar-benar ingin diterajui secara global, kerana negara ini tidak mampu menjadi juara dalam semua bidang teknologi.

Fokus yang jelas, misalnya pada kecerdasan buatan berasaskan aplikasi halal, bioteknologi tropika atau segmen khusus semikonduktor, mampu membina kelebihan daya saing tersendiri.

Di samping itu, dasar inovasi negara harus bersifat tekal dan jangka panjang, sekurang-kurangnya 20 hingga 30 tahun, serta dipersetujui secara dwipartisan agar tidak terjejas dengan perubahan politik.

5f6fd050ac62f984283fc42cd9fd79af

Pada masa sama, insentif yang lebih menarik perlu diwujudkan bagi menggalakkan kepulangan pakar Malaysia yang kini berkhidmat di luar negara.

Budaya berani mencuba dan tidak takut gagal juga wajar dipupuk, bukan sahaja dalam kalangan pemain industri tetapi juga dalam kalangan .

Kesimpulannya, Malaysia sebenarnya mempunyai asas yang kukuh melalui Cyberjaya, Pulau Pinang, dan Johor sebagai hab teknologi.

Namun, sekiranya ingin mencapai tahap sehebat Haidian, Malaysia perlu beralih daripada sekadar pengguna teknologi kepada pencipta teknologi.

Masa depan ekonomi global tidak lagi ditentukan oleh siapa yang menawarkan harga paling rendah, tetapi oleh siapa yang mampu menjadi paling inovatif.


DR NASH NAHAR ialah Pengarah Strategi Pemuda Amanah Nasional.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.



Source link