Ketua Menteri Sabah Hajiji Noor tidak dapat menahan sebak selepas menziarahi keluarga mangsa kejadian tanah runtuh dan banjir negeri itu yang mengorbankan 13 nyawa.
Dalam lawatan di Kampung Mook, Papar, dia menangis dan beberapa kali mengelap air mata ketika menyantuni pihak terlibat, dan semasa keluarga mangsa menceritakan kejadian yang menimpa.
Hajiji hari ini menziarahi keluarga mangsa kejadian tanah runtuh yang mengorbankan Emily Johnny, 38, dan anaknya Xarell Myre Aristothle, 11, setelah tertimbus.
Sementara itu, Hajiji berkata kerajaan negeri dan pusat mula menyalurkan bantuan kepada mangsa, antaranya RM1,000 bagi mangsa banjir yang dipindahkan ke pusat pemindahan dan RM10,000 kepada waris mangsa meninggal dunia.
Selain itu, katanya, ada juga bantuan daripada Yayasan Sabah.
“Rumah yang runtuh itu ada tiga rumah kita bantu RM30,000 setiap rumah diharap dapat meringankan beban mereka yang terkesan,” katanya seperti dilaporkan Bernama.

Katanya, kerajaan negeri dan pusat juga sedang memulihkan kehidupan rakyat dan negeri itu yang dilanda bencana besar sebelum ini.
Jabatan Pengurusan Bencana Sabah memaklumkan jumlah mangsa banjir meningkat kepada 2,897 orang daripada 813 keluarga dari 107 kampung setakat lapan pagi ini, berbanding 2,813 mangsa daripada 752 keluarga semalam.
Sebanyak 13 orang terkorban dalam kejadian tanah runtuh yang berlaku sejak Jumaat lepas di Sabah.