Malaysia Oversight

Usaha korporat IFFCO tidak gugat prestasi FGV IFFCO Group

By Utusan in September 17, 2025 – Reading time 2 minute
Usaha korporat IFFCO tidak gugat prestasi FGV IFFCO Group


PETALING JAYA: FGV Holdings Berhad (FGV) menegaskan aktiviti korporat yang sedang dijalankan oleh IFFCO Group, konglomerat berpangkalan di Emiriah Arab Bersatu (UAE) yang juga rakan usaha samanya, tidak memberi kesan kepada prestasi dan operasi FGV IFFCO Group.

Menurut kenyataan, usaha sama yang ditubuhkan pada 2006 itu merangkumi tiga syarikat iaitu FGV IFFCO Sdn. Bhd. (FISB), kilang penapisan minyak dan lelemak di Pelabuhan Klang, FGV IFFCO Trading Sdn. Bhd. (FIT), anak syarikat dagangan di Kuala Lumpur dan FGV IFFCO France SA (FIF), anak syarikat dagangan di Perancis yang sebelum ini dikenali sebagai Felda IFFCO.

FGV berkata, FGV IFFCO Group memasarkan pelbagai produk berasaskan minyak sayuran termasuk minyak masak, lelemak serta derivatif selain menyediakan penyelesaian logistik bagi penjualan dan pengedaran. 

“Ketiga-tiga syarikat berkenaan beroperasi secara bebas dengan pendedahan minimum terhadap pelaksanaan korporat IFFCO Group, manakala semua urus niaga dijalankan mengikut terma komersial pasaran dengan wakil FGV dilantik dalam lembaga pengarah dan pengurusan bagi memastikan tadbir urus yang berhemat,” katanya. 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan FGV, Fakhrunniam Othman berkata, usaha sama itu kekal kukuh dan tidak terjejas oleh perkembangan terkini.

“Disokong oleh asas perniagaan yang mantap serta tadbir urus yang baik, ia terus menyumbang nilai kepada pihak berkepentingan dan mengekalkan keyakinan pasaran. 

“Sebagai pemegang saham, FGV memberi komitmen penuh menyokong FGV IFFCO Group dan memastikan usaha sama itu diuruskan secara profesional bagi menjamin nilai mapan kepada pemegang saham,” katanya. 

Setakat tahun ini, FGV IFFCO Group merekodkan keuntungan sebanyak RM49 juta, mencerminkan operasi yang stabil meskipun berdepan cabaran pasaran global. 

FGV turut memaklumkan pihaknya bekerjasama rapat dengan IFFCO Group dan menerima maklumat terkini mengenai langkah penyusunan yang sedang dijalankan oleh konglomerat itu, sekali gus mencerminkan kekuatan hubungan strategik antara kedua-dua pihak.

“Kedudukan kewangan sendiri kekal stabil dengan penarafan kredit AA- yang mencerminkan keyakinan institusi kewangan terhadap kestabilan dan prospek kumpulan berkenaan,” katanya.

FGV memberi jaminan kepada pihak berkepentingan bahawa usaha sama dengan IFFCO kekal utuh meskipun IFFCO Group sedang melaksanakan langkah penyusunan korporat. – UTUSAN





Source link