Polis Indonesia memohon notis merah daripada Pertubuhan Polis Jenayah Antarabangsa (Interpol) terhadap ahli perniagaan dalam buruan, Riza Chalid, yang dilaporkan melarikan diri bagi mengelak kes rasuah berkaitan pengurusan minyak mentah.
Agensi berita Antara melaporkan Setiausaha Biro Pusat Nasional (NCB) Interpol Indonesia, Untung Widyatmoko, berkata Pejabat Peguam Negara (AGO) telah melengkapkan keperluan bagi permohonan tersebut minggu lalu.
“Kami segera menghantar permohonan IRN (Interpol Red Notice) untuk individu berkenaan (Riza Chalid),” katanya, sambil menambah Interpol akan mengeluarkan notis merah selepas menilai permohonan itu.
Interpol Red Notice (IRN) ialah satu bentuk amaran elektronik yang diedarkan kepada semua pasukan polis negara anggota, atas permintaan sesebuah negara yang mempunyai bidang kuasa terhadap individu terbabit.
AGO menamakan Riza, pemilik PT Orbit Terminal Merak, sebagai suspek dalam kes rasuah berkaitan pengurusan minyak mentah dan produk penapisan di syarikat tenaga milik negara, Pertamina serta Kontraktor Kontrak Kerjasama (KKKS) antara 2018 hingga 2023. Dia juga berdepan tuduhan pengubahan wang haram.

Menurut Antara, Riza tersenarai dalam senarai orang dikehendaki AGO sejak 19 Ogos, dan pasportnya telah dibatalkan. Menteri Migrasi dan Pemasyarakatan Indonesia, Agus Andrianto, berkata Riza dikesan berada di Malaysia selepas meninggalkan Indonesia pada Februari tahun ini.
Pada Julai lalu, sebuah badan pemantau antirasuah Indonesia menggesa Presiden Prabowo Subianto menekan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim untuk membawa pulang Riza yang dipercayai pernah menetap di Malaysia.
Dalam satu surat terbuka yang dikongsi kepada media, jurucakap Masyarakat Antikorupsi Indonesia (Maki), Boyamin Saiman, berkata pihak berkuasa Indonesia masih gagal menangkap atau menahan Riza kerana didakwa berada di luar republik itu.
Pada 21 Julai, The Jakarta Post melaporkan Riza meninggalkan Indonesia pada 6 Februari dan lokasi terakhirnya ialah di Malaysia, berdasarkan data Kementerian Migrasi dan Pemasyarakatan.
Pemangku Ketua Pengarah Imigresen Indonesia, Yuldi Yusman, sebelum ini berkata pihaknya telah “berhubung dengan Jabatan Imigresen Malaysia dan Polis Diraja Malaysia untuk mengesan Riza”.
Dalam suratnya, Boyamin mendakwa Riza – yang digelar “Godfather minyak” – berkahwin dengan kerabat diraja sama ada dari negeri utara atau selatan Malaysia, dan mempunyai kaitan dengan Anwar.

Pada 2023, Menteri Besar Kedah, Sanusi Nor mendakwa terdapat hubungan antara Anwar dan seorang “ahli perniagaan Indonesia” yang kemudian dikenal pasti sebagai Riza, yang menyatakan minat untuk melabur dalam perlombongan nadir bumi di negeri itu.
Anwar kemudian mengesahkan pernah menghadap Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah, bersama seorang ahli perniagaan Indonesia, namun menegaskan ia sekadar kunjungan hormat.
Pada Julai lalu, Anwar sekali lagi menegaskan Malaysia tidak akan campur tangan dalam prosiding undang-undang yang sedang berjalan terhadap Riza.
Dalam sesi bersama ketua editor di Jakarta, Anwar dilaporkan menyatakan bahawa dia hanya mengenali Riza sepintas lalu dan tidak mengetahui lokasi terkini jutawan itu, termasuk sama ada dia berada di Malaysia atau tidak.