Malaysia Oversight

Hafreez Adam cerita kebaikan artis popular, warganet teka Fazura

By Utusan in September 17, 2025 – Reading time 2 minute
Hafreez Adam cerita kebaikan artis popular, warganet teka Fazura


PETALING JAYA: Pelakon, Hafreez Adam, mencuri tumpuan apabila mengimbau kebaikan seorang artis wanita popular di set penggambaran semasa dirinya baru berkecimpung dalam bidang lakonan, beberapa tahun lalu.

Cerita Hafeez atau Muhammad Hafreez Adam Azeezul, 35, ketika itu dia baru sahaja tamat menyertai program Hero Remaja 2011/2012 dan ditawarkan berlakon watak kecil-kecilan untuk sebuah drama.

Bagaimanapun, memandangkan dirinya berada dalam keadaan tidak sihat akibat selesema dan demam, pelakon Gantung itu memilih memencilkan diri di bilik menunggu.

“Tiba-tiba ada seorang kru masuk dan jerit ‘pizza sudah sampai’, maka yang lain teruja. Rupanya pelakon utama drama berkenaan yang belanja pizza untuk satu set.

“Saya nampak dia agihkan kotak pizza kepada kru di bilik lain termasuk jurusolek dan bahagian ‘wardrobe’. Waktu saya nak pejam mata dan rehat, dia muncul berdiri dan pelawa makan pizza,” ceritanya menerusi hantaran di Threads.

Ketika itu, Hafreez mengakui segan dan menjelaskan keadaan kesihatannya yang tidak berapa baik. Namun, pelakon perempuan itu bertegas meminta Hafreez menjamah sedikit makanan yang dipesannya.

Tambahnya, pelakon wanita itu langsung tidak menunjukkan sikap berbeza terhadap pelakon kecil seperti dirinya, malah memberi layanan mesra tanpa mengira status.

Beberapa bulan kemudian, Hafreez sekali lagi bertemu artis berkenaan di sebuah majlis anugerah. Dia terkejut apabila pelakon itu masih mengingatinya.

“Dia tegur saya dulu. Katanya dia ingat saya dari set penggambaran. Saya rasa terharu kerana dia bukan sahaja baik, tapi juga ikhlas,” katanya.

Jelas Hafreez, pengalaman tersebut membuktikan masih wujud insan seni yang berbudi bahasa tanpa mengharapkan pujian.

“Dalam industri ini, tidak ramai begitu. Budi pekerti dan nilai hormat tidak boleh dibuat-buat. Saya doakan yang terbaik buat dia,” katanya.

Walaupun tidak menamakan siapakah gerangan pelakon wanita tersebut, warga maya mula menyebut beberapa nama terutamanya Nur Fazura kerana pernah sama-sama terlibat dalam drama Kisah Cinta pada 2013.

Nama lain yang turut menjadi perhatian ialah Fasha Sandha. -UTUSAN





Source link