Polis masih menyiasat serangan pada 13 Ogos terhadap anak lelaki bekas menteri ekonomi, Rafizi Ramli, yang berusia 12 tahun, kata Ketua Polis Negara, Mohd Khalid Ismail.
Khalid berkata walaupun polis telah memperoleh rakaman CCTV berhubung kejadian itu, identiti penyerang masih tidak diketahui kerana kualiti rakaman.
“Tetapi rakaman CCTV itu nampak tidak begitu jelas dan tidak dapat dikenali individu berkenaan,” katanya seperti dipetik media tempatan.
Mohd Khalid berkata pihak hospital masih menilai kandungan jarum suntikan yang digunakan untuk menyuntik anak Rafizi dalam serangan di tempat letak kereta sebuah pusat beli-belah di Putrajaya.

Pada Sabtu lalu, Rafizi memberitahu Malaysiakini belum ada perkembangan baru daripada pihak polis berhubung serangan itu, sambil menegaskan dia akan mendesak pihak berkuasa untuk memberikan kemas kini.
Pada 22 Ogos, Khalid berkata polis telah merakam keterangan daripada 19 individu termasuk ahli keluarga Rafizi, sementara menunggu laporan kimia daripada hospital bagi mengenal pasti butiran bahan cecair yang disuntik ke dalam tubuh anak Ahli Parlimen PKR itu.
Selepas serangan terhadap anaknya — yang kini menjalani pemeriksaan kesihatan berkala untuk mengenal pasti bahan yang disuntik — isteri Rafizi pula menerima mesej teks mengerikan berbunyi: “Diam! Andai teruskan, AIDS!” bersama tiga emoji jarum suntikan.
Seminggu selepas kejadian, Rafizi mendedahkan dia sebelum itu bertemu seorang pemberi maklumat, yang antara lain menyentuh tentang bekas setiausaha politik Perdana Menteri Anwar Ibrahim, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak.

Rafizi mengisyaratkan bahawa serangan tersebut mungkin ada kaitan langsung dengan pertemuan itu.
Sebagai maklum balas, Farhash menafikan sebarang penglibatan dengan insiden berkenaan, sambil menyifatkan dakwaan itu sebagai “tidak masuk akal”.
Bulan lalu, Rafizi menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat Farhash selepas namanya dikaitkan dengan skandal perlombongan di Sabah.