Bekas ketua setiausaha sulit Muhyiddin Yassin, Marzuki Mohamad tampil menempelak kenyataan Naib Presiden PAS, Muhammad Sanusi Md Nor. Ia susulan kenyataan Sanusi yang juga pengarah pilihan raya PAS yang menegur parti komponen PN kerana dianggap banyak bergantung kepada jentera parti dan kewangan partinya untuk bertanding dalam pilihan raya.
Marzuki berkata, Bersatu sebenarnya turut menanggung kos perbelanjaan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) yang memberi peluang kepada PAS memenangi 43 kerusi parlimen iaitu satu jumlah besar dalam sejarah parti itu.

“Semasa PRU15 PAS tidak menghadapi masalah besar berhubung perbelanjaan pilihan raya. Apabila mereka bertanding menggunakan logo Perikatan Nasional, semua peralatan pilihan raya yang menggunakan logo PN disediakan oleh PN.
“Perbelanjaan PN pula semuanya ditanggung oleh Bersatu. Malah Bersatu juga memberikan sumbangan kewangan yang bukan sedikit kepada PAS,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dia mengulas ucapan penggulungan Sanusi, semalam pada Muktamar PAS ke-71, di Kota Sarang Semut, Alor Setar, yang berkata parti komponen PN banyak bergantung kepada jentera parti dan kewangan PAS untuk bertanding dalam pilihan raya.
Menteri Besar Kedah itu berkata ada parti yang “mai (datang) bertanding syok saja” dan dibantu oleh PAS.
“Kita menghadapi rakan-rakan (dalam PN) yang bergantung kepada peralatan yang kita bayar. Di sini (Kedah), saya fikir di tempat lain sama juga.

“Satu cawangan kita minta RM120,000 untuk satu UPU (unit peti undi). Sebelum ni semua peralatan itu kita bayar, depa mai bertanding syok aja. Habis tu nak jadi ketua? Duit tak dak, jentera tak dak, (harap) kita (PAS) semua.
“Jangan sampai kita ungkit ke semua,” katanya. Selain PAS, PN turut dianggotai Bersatu dan Gerakan sebagai parti utama.
Mengullas lanjut, Marzuki berkata, dia setuju dengan anggaran dana pilihan raya bernilai RM1 juta untuk satu kawasan Parlimen seperti dijelaskan Sanusi.
“Jumlah RM1 juta ini bagi saya ‘bare minimum’. Kalau serius nak menang pilihan raya jumlahnya mungkin lebih besar. Ia pula bergantung kepada jumlah pengundi, saiz kawasan parlimen dan keperluan logistik yang berbeza-beza.
“Ini belum masuk kos kajian pilihan raya, kos pengiklanan di media,” katanya.

Menurutnya, ini bermakna jumlah perbelanjaan pilihan raya memakan kos besar yang terpaksa ditanggung oleh mana-mana parti.
“Jadi pilihan raya ini belanjanya besar. Tidak kira mana-mana parti pun inilah kos yang terpaksa ditanggung.
“Ini hakikat bantuan peralatan dan kewangan yang diberikan oleh Bersatu kepada PAS yang saya percaya Sanusi sendiri tahu,” katanya lagi.