Nothing Ear (3) Akan Dilengkapi Dengan Fungsi ‘Super Mic‘
Amy Maizuraa
Fon telinga baharu Nothing Ear (3) berkemungkinan hadir dengan fungsi komunikasi dua hala seperti walkie-talkie. Spekulasi ini timbul selepas jenama tersebut memuat naik imej promosi yang memaparkan butang ‘Talk’ pada pod pengecas Ear (3). Meskipun tiada pendedahan lanjut, ramai membuat andaian butang itu berfungsi dalam mod push-to-talk.

Dalam perkongsian terbaharu, Nothing menyertakan kapsyen yang bertulis ‘Ear (3) with Super Mic. Now they can hear you’.
Gambar dikongsi menunjukkan seorang pengguna memegang pod pengecas Ear (3) berhampiran mulut dengan jarinya diletakkan tepat pada butang Talk yang merujuk kepada imej promosi terdahulu.
Cara penggunaannya pula seolah-olah dia sedang bersedia untuk bercakap lalu menguatkan andaian bahawa fon telinga ini menyokong fungsi komunikasi suara secara dua hala.

Perkara itu mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan pengguna dengan mereka membuat andaian tentang tujuan sebenar fungsi Super Mic.
Ada juga spekulasi yang menyatakan bahawa fungsi tersebut mungkin boleh bantu mengurangkan bunyi hingar latar belakang secara berkesan untuk kualiti audio yang lebih jelas.

Pelancaran rasmi Ear (3) dijadualkan berlangsung pada hari Khamis iaitu 18 September 2025. Maklumat lanjut mengenai penawaran fon telinga ini dijangka akan didedahkan semasa acara tersebut. Sebelum ini, Nothing turut pernah memperkenalkan ciri Smart Dial pada fon telinga mereka.
Komen
Sila log masuk untuk menghantar komen.