Bersatu berpendapat ada keperluan untuk menampilkan ‘poster boy’ – atau calon Perdana Menteri – untuk PN dalam PRU16 supaya rakyat dapat menilai tokoh yang diangkat untuk menggalas amanah mentadbir negara.
Ketua penerangannya, Tun Faisal Ismail Aziz berkata sebab itulah Bersatu telah menamakan presiden parti, Muhyiddin Yassin sebagai ‘poster boy’ mereka untuk dipertimbang PN.
“Bila kita buat keputusan dalam parti hari itu (menamakan calon Perdana Menteri), kita merasakan bagus untuk kita beri rakyat buat penilaian. Sama ada mereka nak bahaskan atau beri pandangan, tak ada masalah.
“Keadaan dalam parti lain mungkin berbeza dengan Bersatu, saya tak boleh bercakap bagi parti lain.
“Tapi bagi kita…kita merasakan ini adalah waktu terbaik bagi kita menamakan (calon Perdana Menteri),” katanya dalam satu wawancara bersama Malaysiakini semalam.

Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) Bersatu pada 7 September lalu meluluskan usul menamakan Muhyiddin sebagai calon Perdana Menteri dari parti itu.
Bagaimanapun usul berkenaan tidak mendapat reaksi positif daripada pemimpin PAS sebelum ini, antaranya oleh Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Pilihan Raya PAS Pusat, Annuar Musa yang menasihatkan Bersatu agar “menyucikan diri terlebih dahulu dengan memperbaiki imej dan dasar serta memulihkan kepercayaan rakyat.”
Mursyidul Am PAS, Hashim Jasin turut menegur Bersatu agar lebih berhati-hati dalam membuat sebarang pengumuman menyentuh mengenai PN, selain mengamalkan dasar musyawarah.
PAS juga berbeza dalam soal calon Perdana Menteri, kerana berpandangan Yang di-Pertuan Agong akhirnya yang akan menentukan siapa yang akan memimpin negara.
‘Tak perlu ikut trend’
Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan berkata, dalam politik Malaysia siapa yang ditonjolkan sebagai calon perdana menteri akan menerima banyak “serangan”.

“Kedua, saya rasa kita tidak boleh terlalu mengikut trend seperti macam ‘poster boy’. Ini kaedah baru dalam politik Malaysia. Sebelum itu kita ikut Perlembagaan, kuasa melantik Perdana Menteri ialah Yang di-Pertuan Agong. di negeri beraja, ia kuasa Raja,” katanya.
Malah, dalam Muktamar PAS yang berakhir semalam, parti itu tidak menamakan mana-mana pemimpin sebagai calon Perdana Menteri mereka.
Malah, Tuan Ibrahim dan Presiden PAS Abdul Hadi Awang sendiri menolak untuk diangkat sebagai calon Perdana Menteri.