Malaysia Oversight

Serangan Israel pacu keperluan perjanjian pertahanan strategik baru dengan AS

By MkiniBM in September 17, 2025 – Reading time 2 minute
Serangan Israel pacu keperluan perjanjian pertahanan strategik baru dengan AS


Qatar pada Selasa menegaskan bahawa serangan udara Israel ke atas Doha minggu lalu mempercepatkan keperluan untuk mengemas kini perjanjian pertahanan strategik dengan Amerika Syarikat (AS), lapor Anadolu Ajansi (AA).

“Ya, serangan ini mempercepatkan keperluan bagi perjanjian pertahanan strategik yang dikemas kini antara AS dan Qatar.

“Ini bukan perkara baharu, sebaliknya mempercepatkan proses,” kata jurucakap Kementerian Luar, Majed al-Ansari pada sidang akhbar di Doha.

Pada Jun 1992, Qatar menandatangani perjanjian kerjasama pertahanan dengan AS.

Awal Selasa, Amir Qatar Sheikh Tamim bin Hamad Al Thani mengadakan perbincangan dengan Setiausaha Negara AS Marco Rubio yang tiba di Doha.

Menurut kenyataan Emiri Diwan, pertemuan itu meneliti hubungan strategik antara kedua-dua negara dan cara mengukuhkannya, khusus dalam bidang pertahanan.

Rubio, dalam kenyataannya mengesahkan semula kerjasama keselamatan Washington dengan Qatar.

“Kami mengesahkan semula perkongsian keselamatan AS-Qatar yang berterusan serta komitmen bersama untuk mewujudkan rantau yang lebih selamat dan stabil,” tulisnya di platform media sosial X milik AS.

Diplomat tertinggi AS itu turut merakamkan penghargaan kepada Qatar atas usaha berterusan dalam pengantaraan bagi memeterai perjanjian damai antara Israel dan Hamas serta membawa pulang tawanan.

Sebelum ketibaannya, Rubio berkata Washington dan Doha hampir memuktamadkan perjanjian kerjasama pertahanan yang dipertingkatkan.

Lawatan itu menyusul selepas sidang kemuncak tergempar Arab- di Doha pada Isnin yang mengecam serangan Israel serta menyatakan solidariti dengan Qatar.

Qatar, bersama Mesir dan AS, menjadi pengantara bagi menamatkan peperangan Israel terhadap Semenanjung Gaza yang telah meragut hampir 65,000 nyawa sejak Oktober 2023.

Bernama – Anadolu



Source link