Bagi Ketua Penerangan Bersatu Tun Faisal Ismail Aziz, kekecohan yang tercetus ketika Perhimpunan Agung Tahun (PAT) parti itu baru-baru ini adalah sesuatu yang tidak boleh dimaafkan.
Menurutnya, ia bukan sahaja memalukan, malah tidak menghormati presiden, Muhyiddin Yassin yang ketika itu sedang memberi ucapan.
Katanya, menjadi tanggungjawab perwakilan untuk menghormati Muhyiddin dan sebarang isu berbangkit boleh disuarakan ketika persidangan, bukannya dengan mencetuskan kekecohan.
“Presiden sebut ia memalukan…dalam ucapan saya (semasa PAT) saya sebut ia memalukan dan tidak boleh dimaafkan.
“Ketika berucap, saya minta supaya tindakan diambil…kena ada rasa hormat pada majlis, kena ada tanggungjawab dan menghormati tetamu (Muhyiddin).
“Kalau ada tak puas hati, esoknya ada persidangan dan kita boleh nyatakan, selepas itu pula kita ada mesyuarat di peringkat negeri masing-masing,” katanya dalam wawancara bersama Malaysiakini.
Pada 6 September lalu, kekecohan tercetus apabila Muhyiddin ketika menyampaikan ucapannya mendakwa wujud komplot untuk mengumpul tandatangan bagi menyingkirkannya.

Ucapan Muhyiddin itu disambut dengan jeritan “tidak benar ” dan “Turun Tan Sri!”, sebelum dibalas dengan laungan “Hidup Tan Sri!” dari kumpulan lain.
Suasana kecoh berlanjutan dan hadirin kelihatan terus bertegang leher sehingga mendorong petugas terpaksa campur tangan dan cuba meleraikan keadaan.
Sehari kemudian, polis berkata kertas siasatan telah dibuka selepas menerima satu laporan berhubung insiden itu.
Mengulas lanjut, Tun Faisal berkata dia secara peribadi berpendapat hukuman tegas perlu dikenakan kepada sesiapa yang terlibat.
“Pada saya tak boleh dimaafkan…tak boleh buat duluan yang hal-hal macam ini tiada masalah,” katanya lagi.
Dia juga berkata parti telah menerima beberapa bukti secara tidak langsung membabitkan insiden berkenaan.
Sementara itu, ditanya mengenai kewujudan kem dalam Bersatu, Tun Faisal berkata ia hanya wujud pada musim pemilihan dan apabila ia berakhir, kesemuanya bergabung di bawah satu kem – kem Muhyiddin.
“Kalau kita hormat keputusan PAT tak timbul dah soal kem ini. Kita satu pasukan, pasukan Bersatu, pasukan Muhyiddin. Inilah yang kita patut pegang.
“Jadi, kalau kita kata nak bertanding semula, bertandinglah selepas pilihan raya nanti,” katanya lagi.