China Eastern Airlines Melancarkan Penerbangan 29 Jam Dari Buenos Aires ke Shanghai
Effi Saharudin
Dalam karya agung Jules Verne, Phileas Fogg dan Passepartout mengelilingi dunia dalam masa 80 hari bagi memenangi taruhan. Di dunia sebenar kelak anda boleh terbang mengelilingi separuh bumi dalam masa 29 jam sahaja. China Eastern Airlines akan melancarkan penerbangan terus dari Buenos Aires ke Shanghai pada 4 Disember depan.
Perjalanan sejauh lebih 12,000 batu atau 19,000 km ini akan bertolak daripada Buenos Aires ke arah Barat menggunakan pesawat Boeing 777-300ER dengan ia melakukan pendaratan di Auckland, New Zealand selama 2-2.5 jam sebelum meneruskan semula perjalanan ke Shanghai, China. Sepanjang perjalanan penumpang tidak akan turut daripada pesawat. Ini akan menjadikannya laluan penerbangan terus paling lama ditawarkan di dunia.

Pesawat perlu berhenti di New Zealand kerana Boeing 777-300ER yang digunakan tidak mempunyai jarak mencukupi untuk melakukan penerbangan tanpa henti. Minyak perlu diisi semula serta perlu memenuhi keperluan krew menerima rehat mencukupi dan ETOPS. Dalam situasi kecemasan ETOPS menetapkan pesawat perlu mempunyai lapangan tebang alternatif untuk mendarat.
Rekod penerbangan tanpa henti paling lama masih dipegang Singapore Airlines iaitu laluan Singapura ke New York yang mengambil masa 19 jam. Bagi yang ingin melihat tahap ketahanan tubuh, dua penerbangan seminggu akan ditawarkan oleh China Eastern Airlines menerusi laluan ini.
Komen
Sila log masuk untuk menghantar komen.