Malaysia Oversight

Lelaki warga M’sia ditahan di Singapura, 18,000 vape dirampas

By MkiniBM in September 17, 2025 – Reading time 1 minute
Lelaki warga M’sia ditahan di Singapura, 18,000 vape dirampas


Seorang lelaki Malaysia ditahan selepas pihak berkuasa di Linkedua Tuas menggagalkan cubaan menyeludup lebih 18,400 rokok elektronik () dan 1,400 komponen berkaitan ke Singapura dengan sebuah lori pada Isnin lalu.

Pihak Berkuasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) berkata rampasan itu merupakan yang terbesar melibatkan penyeludupan di pusat pemeriksaan darat Singapura sejak hukuman lebih berat dikuatkuasakan pada 1 Sept lepas.

“Barang rampasan dan suspek telah diserahkan kepada Pihak Berkuasa Sains Kesihatan untuk siasatan lanjut,” kata ICA dalam hantaran di Facebook semalam.

Agensi itu memaklumkan lori berdaftar di Malaysia berkenaan telah dikesan oleh Pusat Penyasaran Bersepadu ICA melalui penilaian risiko sebelum ketibaan dan diarahkan menjalani pemeriksaan ketat.

Hasil pemeriksaan, pegawai menemukan barangan terlarang itu yang disembunyikan dalam lori terbabit yang diisytiharkan membawa “komponen untuk bidai luaran bermotor”.

Pada Ogos lepas, ICA memaklumkan pemeriksaan di pusat pemeriksaan udara, darat dan laut telah diperketat bagi mengesan dan menghalang cubaan penyeludupan , sebagai sebahagian daripada usaha bersepadu seluruh membasmi produk terbabit.

-Bernama



Source link