Malaysia Oversight

Pelajar sekolah agama cipta sistem pencegahan kebakaran sawah

By Utusan in September 17, 2025 – Reading time 3 minute
Pelajar sekolah agama cipta sistem pencegahan kebakaran sawah


Kebakaran kecil yang sering berlaku di kawasan sawah padi sering menjadi kerisauan penduduk di sekitar Kedah.

Menyedari ancaman tersebut, pelajar daripada Sekolah Menengah Agama Saadah Al Diniah Al Islamiah, Sik, Kedah tampil dengan memperkenalkan satu sistem pintar yang mampu mengesan tanda-tanda awal kebakaran sebelum ia merebak dengan lebih luas.

Utusan Pelajar page 17 18 PM WhatsApp Image 2025 09 13 at 3.40.41 PM new

Sistem inovasi yang dinamakan fire farm alert itu berfungsi sebagai pemerhati terhadap masalah kebakaran kecil yang berlaku di sekitar kampung dan kawasan pertanian.

Inovasi tersebut menggunakan gabungan sensor dan internet of things (IoT) untuk mengesan keadaan tanah yang terlalu kering atau wujud kehadiran asap. Sekiranya bacaan dikesan pada tahap berisiko, sistem ini akan mengaktifkan pam air secara automatik bagi mengurangkan kemungkinan risiko kebakaran besar.

Alat tersebut direka khusus oleh empat pelajar sekolah itu yang masing masing berumur 14 tahun iaitu,Nur Ahlam Nor Azam, Sayyida Nafisa Sofiyudin, Nurul hannan Shahrom, dan Nur daniesya Umairah Mohd Ridzuan.

Utusan Pelajar page 17 18 PM new

Fire farm alert turut berjaya merangkul tempat kelima dalam pertandingan Celik Initiatif 2025 anjuran Kumpulan Perangsang (KPS Berhad) mengalahkan 62 penyertaan daripada 46 sekolah yang lain.
Menurut guru pembimbing, Syahida Omar, idea inovasi tersebut tercetus selepas beliau mengajukan persoalan tentang masalah yang perlu diselesaikan kepada murid-muridnya.

“Daripada isu kebakaran kecil di kawasan kampung, mereka terfikir untuk mencipta inovasi pencegahan awal. Saya hanya memberi bimbingan ringkas selebihnya mereka usahakan sendiri,” katanya kepada Utusan Pelajar ketika ditemui dalam majlis Kumpulan Perangsang (PKS) Celik initiatif 2025 di ibu negara baru-baru ini.

Beliau menjelaskan, inspirasi itu turut diperkukuh dengan data daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia yang menunjukkan banyak kes kebakaran berlaku di ladang dan sawah padi akibat pembakaran jerami tanpa kawalan.

“(Inovasi) fire farm alert menggunakan sensor dan IoT. Apabila tanah terlalu kering atau terdapat asap, sistem akan mengaktifkan pam air secara automatik bagi mengelakkan kebakaran menjadi lebih besar,” katanya.

Syahida mengakui cabaran utama adalah daripada aspek teknikal kerana beliau tidak mempunyai latar belakang kejuruteraan manakala murid yang terlibat masih di Tingkatan Dua serta belum pernah mempelajari asas pengaturcaraan.

Utusan Pelajar page 17 18 PM WhatsApp Image 2025 09 13 at 3.40.41 PM

“Cabaran terbesar ialah sistem kod kerana melibatkan pelbagai sensor gas, kelembapan tanah dan pam air.

“Jika satu sensor bermasalah ia boleh menjejaskan semua sistem yang terlibat namun mereka tidak berputus asa dan tetap berusaha mendalami aspek teknikal ini dengan penuh semangat,” katanya.
“Kekuatan pasukan ini terletak pada gabungan pelbagai bakat yang berbeza menjadikan mereka saling melengkapi antara satu sama lain dan seterusnya berjaya menghasilkan satu rekaan yang luar biasa.

“Setiap pelajar mempunyai kelebihan yang tersendiri. Ada yang mahir dengan kod, ada yang petah bercakap, rajin dan kreatif dalam menghasilkan reka bentuk prototaip.

“Gabungan keempat-empat mereka inilah yang menjadikan projek ini berjaya sampai ke peringkat kebangsaan,” katanya.

Utusan Pelajar page 17 18 PM

 

Kejayaan itu turut mendapat perhatian Pengetua sekolah, Ridzuan Abd. Kadir yang menyifatkan pencapaian tersebut sebagai pencetus inspirasi baharu buat sekolah agama.
“Alhamdulillah, saya rasa bangga dan teruja walaupun kami hanya mendapat tempat kelima, namun apa yang penting ini adalah kali pertama sekolah agama bantuan (SABK) berjaya sampai ke peringkat ini,” katanya.

Menurutnya, inovasi fire farm Alarm membuktikan pelajar sekolah agama tidak hanya terikat dengan subjek agama semata-mata, sebaliknya mampu melangkah lebih jauh dalam menghadapi cabaran dunia digital pada masa kini.

“Penglibatan ini bukan sekadar untuk kumpulan tertentu tetapi saya mahu ia menjadi inspirasi kepada semua murid khususnya di sekolah agama.

“Perkara ini menunjukan mereka boleh berdiri sama tinggi, duduk sama rendah dengan pelajar lain dalam Program Sains Teknologi Kejuruteraan dan Matematik (STEM),” katanya.

Ridzuan turut menegaskan bahawa pihak sekolah sentiasa memberi sokongan penuh terhadap usaha guru dan pelajar sama ada dari segi moral mahupun kewangan.

“Kita tidak pernah menghalang atau mengehadkan usaha mereka untuk maju kerana setiap idea yang dibawa akan disokong dengan padu ” katanya. – UTUSAN





Source link