MUKTAMAR PAS | Abdul Hadi Awang hari ini menegur tindakan segelintir individu yang menawarkan diri untuk menjadi pemimpin dengan menyifatkan perbuatan tersebut sebagai bertentangan dengan ajaran Islam.
Berucap ketika sesi penggulungan Muktamar PAS ke-71 di Alor Setar, Kedah, Presiden PAS itu memetik kisah Nabi Muhammad SAW yang menasihati para sahabat agar tidak meminta jawatan.
Menurut Abdul Hadi, seorang sahabat dari Yaman pernah datang kepada Rasulullah untuk meminta agar dia dilantik sebagai pemimpin.
Kata Abdul Hadi, nabi kemudian menjawab: “Demi Allah aku tak melantik orang yang minta jawatan kerana nafsu.”
Ahli Parlimen Marang itu juga berkata, seseorang pemimpin Islam tidak sepatutnya meminta jawatan kerana ia adalah tanggungjawab berat yang akan dipersoalkan di akhirat kelak.
Abdul Hadi juga memberitahu para perwakilan PAS bahawa Nabi Muhammad juga pernah memberi amaran kepada seorang sahabat bahawa mereka yang meminta jawatan tidak akan mendapat pertolongan daripada Allah.
“Kalau kamu minta (jawatan), Tuhan akan biarkan kamu jadi pemimpin (tapi) tak boleh selesai masalah.
“Janji macam-macam, nak turunkan harga minyak, PTPTN, janji itu, janji ini, akhirnya tak boleh nak buat.
“Itu beban atas kepalanya kerana minta jawatan, (sebab itu) jangan minta,” katanya yang turut menyindir kepimpinan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim.
Merujuk kepada satu lagi hadis, Abdul Hadi berkata, Allah sendiri akan menentukan sesiapa yang dikehendaki-Nya untuk menjadi pemimpin dan individu tersebut akan menjadi pemimpin apabila tiba masanya.