MUKTAMAR PAS | Cadangan Muhyiddin Yassin agar semua parti komponen PN menggunakan logo gabungan itu pada PRU16 tidak mendapat reaksi positif daripada PAS.
Malah, setiausaha agungnya, Takiyuddin Hassan berkata kenyataan pengerusi PN itu sebagai mendahului keputusan pucuk pimpinan gabungan.
“Itu kenyataan yang agak mendahului keputusan PN. Sebagai satu gabungan dan rakan kongsi yang sama rata dalam PN, tidak ada sesiapa (lebih) kecil atau besar.
“Kita ada empat komponen. Jadi bagi PAS apa jua keputusan yang perlu dibuat oleh Pengerusi PN ataupun sesiapa, mesti melalui Majlis Tertinggi PN.
“Sebab itu kita katakan cadangan Muhyiddin agak awal,” katanya kepada pemberita di Muktamar Tahunan PAS kali ke-71 di Kompleks PAS Kedah, Alor Setar, Kedah hari ini.
Sebelum ini, Muhyiddin berkata semua parti komponen PN dicadangkan menggunakan logo gabungan itu, termasuk di Kelantan dan Terengganu yang menggunakan logo PAS pada Pilihan Raya Negeri (PRN) yang lalu.

“Adalah menjadi hasrat saya (menggunakan logo PN di semua negeri), kerana kita dalam gabungan. Seperti di Kedah dan Perlis, kita menggunakan logo PN (pada PRU15) dan ternyata ia okey.
“Tetapi (ketika itu) PAS mahu terus menggunakan logo mereka di Kelantan dan Terengganu, jadi kami bersetuju.
“Melangkah ke hadapan, adalah lebih baik jika kita semua menggunakan (logo) yang sama. Ini adalah hasrat saya tetapi terpulang kepada pucuk pimpinan, terpulang kepada mereka untuk membuat keputusan,” katanya.
Pada Sabtu lalu, Mursyidul Am PAS Hashim Jasin mencadangkan calon PN yang bertanding di empat negeri di bawah pentadbirannya, iaitu Kedah, Kelantan, Terengganu dan Perlis, menggunakan logo parti itu.
Untuk rekod, pimpinan tertinggi PN akan mengadakan mesyuarat pada minggu depan untuk membincangkan dan memutuskan calon perdana menteri.
PN kini mempunyai empat komponen, iaitu PAS, Bersatu, Gerakan dan Parti Rakyat India Malaysia (MIPP).