Malaysia Oversight

Sudah masa fikirkan kebajikan stuntwomen – Fify Azmi

By Utusan in September 16, 2025 – Reading time 3 minute
Sudah masa fikirkan kebajikan stuntwomen - Fify Azmi


MELIHAT kepada deretan kualiti filem aksi Malaysia yang semakin mencipta fenomena, industri seni semakin serius melihat usaha yang dilakukan para pelakon aksi demi menjayakan sesuatu adegan berbahaya.

Oleh itu, tidak hairanlah buat pertama kali dalam anugerah berprestij negara, Festival Filem Malaysia ke-34, mereka memperkenalkan kategori baharu iaitu Anugerah Aksi dan Lagak Ngeri Terbaik untuk memberi pengiktirafan kepada individu selayaknya.

Melihat kepada perubahan ini, kebajikan pelakon lagak ngeri di Malaysia juga perlu menerima perhatian sama untuk ditambah baik. Sebut sahaja pelakon lagak ngeri, ia tidak hanya tertumpu kepada lelaki semata-mata.

Oleh sebab semakin banyak naskhah yang memerlukan aksi wanita, lebih ramai pelakon lagak ngeri perempuan atau stuntwoman mahu turut serta.

Menurut pelakon aksi, Fify Azmi, walaupun lebih ramai stuntmen diberikan tumpuan di dalam naskhah namun dia percaya ramai pelakon aksi wanita mula menaruh minat sama-sama membangunkan naskhah tempatan dalam bidang berisiko tinggi ini.

“Sebenarnya ada sahaja perempuan yang rasa mahu untuk jadi stuntwoman. Tapi mungkin pendedahan dan kesempatan itu kurang.

“Contohnya jika ada sesi casting mereka hanya iklankan mencari mencari pelakon aksi yang kita tahu kebanyakannya lelaki. Sudah masanya iklan mencari ‘stunt’ dibuka untuk lelaki dan wanita. Saya yakin ramai akan tampil,” katanya yang terkenal menerusi filem Wira.

Tambah Fify atau Nur Ain Mohd Azmi, 35, dengan perkembangan genre aksi dalam industri perfileman Malaysia isu kebajikan dan keselesaan mereka masih kurang diberi perhatian sewajarnya.
“Bila kita tengok naskhah aksi yang semakin banyak, ini bermakna kita kena lebih kreatif dan berhati-hati, terutamanya dari segi menjaga kebajikan stuntwomen.

“Sesi training biasanya antara stuntwoman dan jurulatih lelaki. Walaupun ramai yang tak cakap apa-apa, sebenarnya mereka rasa tak selesa. Tapi sebab takut dipanggil demand atau ‘diva’, mereka diam sahaja.

“Bayangkan kalau dia sudah berkahwin, tentulah dia rasa kurang selesa jika terpaksa berlatih rapat dengan jurulatih lelaki. Kita perlu fikir alternatif yang lebih sesuai,” tambahnya.

Justeru itu, pemenang Anugerah Pelakon Wanita Harapan Festival Filem Malaysia ke‑31 mencadangkan agar industri mula memberi ruang kepada lebih ramai jurulatih wanita untuk turut terlibat dalam latihan pra-produksi.

“Kalau dalam kelas seni mempertahankan diri pun boleh ada jurulatih wanita untuk pelajar perempuan, kenapa tidak di set latihan produksi?

“Lagi pula, gaya tarung lelaki dan perempuan berbeza. Kita tak perlu pun nak samakan bentuk badan atau teknik lawan dengan lelaki. Kita ada cara tersendiri, hayunan dan gaya perempuan tak sama,” katanya.

Tambahnya, dengan pendekatan lebih inklusif dan memahami keperluan wanita, lebih ramai akan terbuka untuk menceburi bidang ini secara profesional.

“Saya percaya, ramai sahaja wanita di luar sana yang akan berani cuba kalau mereka tahu kebajikan mereka akan dijaga,” katanya.

Fify juga berharap cadangan ini tidak disalah anggap sebagai cubaan memecah belah antara jurulatih lelaki dan wanita, sebaliknya lebih kepada penyelesaian praktikal demi keselesaan pelakon wanita.
“Cadangan ini hanya untuk fasa latihan yang panjang. Bila dah sampai set penggambaran, saya tiada masalah pun kalau jurulatih lelaki perlu ubah koreografi mengikut keperluan,” jelasnya.-UTUSAN





Source link