Malaysia Oversight

Penang FC melangkah bergaya ke suku akhir

By Utusan in September 15, 2025 – Reading time 2 minute
Penang FC melangkah bergaya ke suku akhir


GEORGE TOWN : Meskipun bergelut dalam saingan Liga Super ketika ini, Penang FC tampil dengan watak berbeza pada aksi Piala FA apabila membenam cabaran Melaka FC 3-0 di Stadium Bandaraya, malam ini.

Kemenangan itu sekali gus melayakkan skuad kendalian Wan Rohaimi Wan Ismail untuk mara ke suku akhir dengan agregat 5-0 selepas memenangi aksi pertama 0-2 di Melaka sebelum ini.

Bermula seimbang, pelawat bagaimanapun terlebih dahulu melancarkan serangan ke kubu tuan rumah. Namun, beberapa percubaan yang dilakukan sekadar melepasi palang gol.

Tersentak dengan serangan awal itu, Penang FC kemudian melancarkan serangan balas sebelum berjaya memecah kebuntuan jaringan pada minit ke-11.

Bermula daripada satu sepakan sudut yang menyaksikan percubaan pemain tengah, Danilo Sipovac terkena tiang, kapten Penang FC, Stefano Brundo bagaimanapun tidak mensia-siakan peluang yang terhidang di depan gawang.

Pemain kelahiran Argentina itu mudah menolak masuk bola ke dalam gawang yang gagal diselamatkan oleh penjaga gol, Firdaus Irman Mohd. Fadhil untuk gol sulung tuan rumah.

Skuad Harimau Kumbang berpeluang untuk menggandakan jaringan pada minit ke-23 perlawanan, namun, tandukan penyerang import berpengalaman mereka, Tchetche Kipre sempat ditepis keluar oleh Firdaus Irman.

Ketika pelawat ghairah untuk memburu gol penyamaan, pemain muda, Ahmad Haziq Kutty Abba secara tiba-tiba meletakkan nama sebagai penjaring apabila rembatan leret dari luar kotak penalti terus menerjah ke gawang Melaka FC untuk gol kedua Penang FC pada minit ke-39.

Masuk babak kedua, skuad Sang Kancil kembali memperkemaskan jentera serangan untuk sekurang-kurangnya merapatkan kedudukan. Namun, kekebalan benteng termasuk kekentalan penjaga gol Penang FC bertahan, Khairulazhan Mohd. Khalid menyukarkan pelawat untuk memburu gol.

Ketika perlawanan memasuki minit yang ke-77, tuan rumah bagaimanapun terpaksa beraksi dengan 10 orang apabila pemain import dari Filipina, Jose Elmer Porteria menerima layangan kad merah selepas melakukan kekasaran terhadap seorang pemain Melaka FC.

Beraksi dengan 10 pemain bagaimanapun tidak menyekat Penang FC untuk menambah jaringan apabila Kipre berjaya melakukan rembatan kencang untuk gol ketiga Penang FC, dua minit kemudian.

Keputusan 3-0 kekal sehingga tamat perlawanan sekali gus menyaksikan Penang FC melangkah bergaya ke suku akhir untuk bertemu sama ada juara bertahan, Johor Darul Ta’zim (JDT) atau UM-Damansara United selepas ini.-UTUSAN





Source link