Muktamar PAS yang diadakan di Kompleks PAS Kedah di Alor Setar antara lain menarik perhatian mengenai bakal calon Perdana Menteri mewakili PN pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
Isu itu bermula apabila Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) Bersatu pada 7 Sept lalu meluluskan usul menamakan Muhyiddin Yassin sebagai calon perdana menteri ke-11 mewakili parti itu.
Namun, langkah berkenaan tidak mendapat reaksi positif daripada PAS.
Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Pilihan Raya PAS Pusat, Annuar Musa, menegaskan Bersatu perlu “menyucikan diri terlebih dahulu” dengan memperbaiki imej, dasar serta memulihkan keyakinan rakyat.
Bekas setiausaha agung BN itu juga menyarankan Bersatu menyediakan barisan pelapis yang berintegriti tinggi dan berupaya membawa negara ke ufuk baru.
Sebelum ini Mursyidul Am PAS, Hashim Jasin turut menegur Bersatu agar lebih berhati-hati dalam membuat sebarang pengumuman menyentuh mengenai PN, selain mengamalkan dasar musyawarah.
Polemik itu semakin panas apabila Dewan Pemuda PAS Pusat (DPPP) sebulat suara meluluskan resolusi supaya PAS mengambil alih kepimpinan PN – termasuk jawatan perdana menteri.
Abdul Hadi beri isyarat
Terbaru, Presiden PAS Abdul Hadi Awang sendiri memberi isyarat mengenai calon perdana menteri. Walaupun menolak pencalonan dirinya secara terbuka, kenyataannya seakan memberi bayangan siapa yang lebih layak menerajui negara.

“PAS sendiri ada memilih pemimpin (calon PM). Quran kata pilih pemimpin berilmu integriti dan sihat tubuh badan.
“Orang macam saya tak layak dah. Paling sihat dulu yang bawah 70 tahun jadi perdana menteri. Biarlah orang yang kuat,” katanya ketika diminta mengulas isu jawatan perdana menteri dalam sidang media di Muktamar PAS.
Abdul Hadi yang kini berusia 77 tahun mungkin merujuk kepada dirinya ketika ditanya wartawan.
Namun kenyataan itu juga boleh dilihat secara tersirat ditujukan kepada Muhyiddin yang kini mencecah usia 78 tahun.
Muhyiddin dalam tekanan?
Muhyiddin, yang juga presiden Bersatu, dikatakan berdepan tekanan dalaman daripada partinya sendiri dan PAS untuk melepaskan jawatan pengerusi PN.

Pada Jun lalu, Malaysiakini melaporkan PAS mencadangkan penstrukturan semula PN bagi memperkukuh peranan Hamzah Zainuddin – timbalan presiden Bersatu merangkap ketua pembangkang.
Cadangan itu termasuk pembentukan jawatankuasa eksekutif dipimpin Hamzah untuk mengawasi operasi PN, manakala presiden PAS, Bersatu, Gerakan, dan Parti Rakyat India Malaysia mengekalkan peranan dalam majlis tertinggi sedia ada.
Sumber menyebut langkah ini dirangka untuk menonjolkan Hamzah sebagai calon perdana menteri PN sekiranya gabungan itu menawan Putrajaya.
Bagaimanapun, Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan menolak laporan yang mendakwa penstrukturan semula sedang dirancang untuk memberi kelebihan kepada Hamzah.
Oleh itu timbul persoalan adakah PAS cuba menekan Muhyiddin secara halus dengan mencadangkan calon perdana menteri baru untuk menggantikan bekas perdana menteri itu?
Meskipun Abdul Hadi menolak pencalonan dirinya, kriteria yang diketengahkannya seolah-olah menyingkirkan kelayakan Muhyiddin.
PAS juga dilihat berusaha mengambil alih kepimpinan PN, dengan desas-desus yang kuat mengaitkan Hamzah sebagai calon alternatif.
Secara keseluruhan, PN kelihatan belum sepakat dalam menentukan calon perdana menteri.
Bersatu mahu mengekalkan Muhyiddin, manakala PAS secara terbuka menolak kepimpinan Bersatu dan presidennya, serta menunjukkan hasrat untuk memimpin gabungan dan negara.