MUKTAMAR PAS | Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP) mengingatkan anggota PAS supaya mengelak daripada menggunakan perkataan yang boleh menyinggung perasaan bukan Islam, khususnya istilah “kafir” dan “pendatang”.
Ketua DHPP Selangor K Deepakaran menegaskan masih wujud segelintir kecil ahli PAS yang menggunakan istilah sebegitu walaupun ia jelas membawa kesan negatif terhadap usaha merapatkan hubungan dengan masyarakat bukan Islam.
“DHPP ingin mengingatkan dengan penuh kasih sayang, kepimpinan parti di semua peringkat mesti berhati-hati menggunakan bahasa.
“Jangan ada istilah yang boleh mengguris hati mana-mana pihak.

“Rakyat Malaysia mahukan politik yang mendamaikan, bukan yang memecahkan,” katanya ketika berucap pada Muktamar Tahunan PAS Pusat ke-71, di Kompleks PAS Kedah, Alor Setar, hari ini.
Jambatan penyatuan rakyat
Bercakap kepada Malaysiakini selepas itu, Deepakaran menjelaskan peranan DHPP sebagai jambatan PAS untuk menyatukan rakyat Malaysia tanpa mengira bangsa dan agama.
“Bagaimana, nak menyatukan rakyat khususnya bukan Islam, sekiranya masih ada yang bersifat rasis.

“Saya percaya dengan teguran Presiden PAS (Abdul Hadi Awang), bahawa PAS memimpin negara, perkara sebegini tidak akan berulang lagi,” katanya.
Sementara itu, Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan mengesahkan DHPP kini diserap sebagai ahli bersekutu parti selepas pindaan perlembagaan PAS diluluskan oleh Pendaftar Pertubuhan (ROS).
Takiyuddin berkata langkah itu membolehkan DHPP – yang kini mempunyai 10,000 ahli di seluruh negara – mempunyai hak lebih luas dalam pembuatan keputusan PAS.
“Ahli DHPP sudah 10,000, yang jumlah 1.3 juta ahli PAS itu tidak termasuk ahli DHPP lagi. Bila kita serap nanti ia akan bertambah lagi.

“Perwakilan DHPP nanti layak memilih kepimpinan pusat.
“Sekarang mereka ada perwakilan 20 orang tapi tak boleh mengundi sebab mereka belum wujud dalam perlembagaan, mungkin muktamar akan datang mereka boleh memilih,” jelasnya.
Tuntut kerusi PRU
Dalam perkembangan sama, Deepakaran menegaskan DHPP tidak mahu sekadar menjadi simbolik dalam PAS, sebaliknya wajar diberi peluang lebih besar, termasuk bertanding di kerusi yang berpotensi menang pada PRU akan datang.
“Sebagai bukan Islam dalam PAS, kami di DHPP yakin peranan kami bukan sekadar simbolik, tetapi sebagai benteng perpaduan.
“Kehadiran kami adalah bukti nyata bahawa PAS mampu merangkul semua rakyat Malaysia, tanpa mengira bangsa dan agama. Justeru, DHPP berhasrat bahawa dalam usaha meluaskan sokongan, PAS perlu memberikan kerusi yang berpotensi menang kepada calon DHPP dalam PRU akan datang.
“Inilah bukti bahawa PAS benar-benar serius mengangkat suara masyarakat bukan Islam ke arus perdana. Dengan membawa agenda adil dan inklusif, PAS akan diyakini bukan sahaja di kalangan orang Islam, tetapi juga oleh masyarakat India, Cina, Orang Asli dan semua kaum yang ada di bumi Malaysia,” katanya.
Sabtu lalu, semasa Konvensyen DHPP, Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man turut berjanji parti itu akan meletakkan calon DHPP pada PRU akan datang.