Malaysia Oversight

‘Mana mungkin orang bukan Melayu pimpin orang Melayu’

By MkiniBM in September 15, 2025 – Reading time 2 minute
'Mana mungkin orang bukan Melayu pimpin orang Melayu'


MUKTAMAR | Pulau Pinang mahu parti itu bertanding di semua kerusi DUN majoriti Melayu di Pulau Pinang pada pilihan raya negeri akan datang.

Perwakilannya, Muhammad Hafis Alias ​​menyelar keputusan Perikatan Nasional (PN) meletakkan Presiden Gerakan Dominic Lau di kerusi DUN Bayan Lepas semasa pilihan raya negeri (PRN) 2023.

Timbalan Ketua Pemuda Pulau Pinang itu menyifatkan langkah itu sebagai satu peluang yang terlepas selepas Lau ditewaskan oleh calon Amanah.

“Kerana majoriti pengundi di situ adalah pengundi Melayu. Mana mungkin orang bukan Melayu pimpin orang Melayu ,” kata Hafis ketika membahaskan ucapan dasar Presiden PAS Abdul Hadi Awang pada Muktamar ke-71 parti itu di Kedah hari ini.

Untuk rekod, Lau tewas kepada calon Amanah, Azrul Mahathir Aziz, yang memperoleh 15,462 undi untuk menang dengan majoriti 1,889.

Kerusi itu mempunyai sejumlah 39,754 pengundi yang layak, di mana 63.2 peratus adalah Melayu diikuti Cina (30.2 peratus), dan India (5.7 peratus).

Hafis seterusnya mengkritik Gerakan kerana memilih untuk bertanding di kawasan majoriti Melayu.

Dia berkata Pulau Pinang mempunyai sejumlah 40 kerusi DUN dan hanya 15 daripadanya adalah kawasan majoriti Melayu.

“Kenapa mereka (Gerakan) tidak gentleman seperti rakan-rakan kita dalam DHPP (Dewan Himpunan Penyokong PAS)?” tambah pemimpin PAS itu sambil menunjuk beberapa calon DHPP yang pernah bertanding di kawasan bukan Melayu semasa pilihan raya.

Kerusi Bayan Lepas menjadi pertikaian antara PAS dan Gerakan sejak kepimpinan PN memutuskan untuk mencalonkan Lau sebagai calon mereka.

Ahli PAS Bayan Lepas telah mengadakan protes terhadap Lau dan mengancam untuk memboikotnya, mengatakan bahawa Bayan Lepas telah menjadi kerusi PAS sejak pilihan raya umum ke-12 dan pengundi di sana mahukan calon Melayu.

Hafis juga mendakwa Lau tidak memainkan peranannya sebagai Pengerusi PN Pulau Pinang dan didakwa mengabaikan gabungan itu.

Ini adalah kali kedua perwakilan PAS mempertikaikan Lau semasa muktamar.

Pada Sabtu, perwakilan Ulama PAS Pulau Pinang Shafirul Rozani mendakwa Lau gagal memimpin PN negeri.



Source link