Malaysia Oversight

Allman tamat penantian emas Kejohanan Dunia

By Utusan in September 15, 2025 – Reading time 2 minute
Allman tamat penantian emas Kejohanan Dunia


TOKYO: Juara Olimpik dua kali, Valarie Allman akhirnya melengkapkan koleksi gemilangnya apabila meraih kejuaraan dunia acara lempar cakera wanita di Stadium Olimpik Tokyo, semalam.

Atlet Amerika Syarikat (AS) itu melepaskan lontaran sejauh 69.48 meter (m) pada percubaan kelima untuk mengatasi pencabar terdekat, Jorinde van Klinken dari Belanda yang meraih perak dengan 67.50m.

Pingat gangsa pula menjadi milik atlet Cuba, Silinda Morales, selepas mencatat lontaran peribadi terbaik 67.25m.

Allman, 29, yang sebelum ini sekadar meraih pingat gangsa di dua edisi Kejohanan Dunia, berkata pencapaian kali ini membuatkan dirinya terasa lengkap sebagai atlet.

“Ia impian jadi kenyataan. Saya menantikan saat ini begitu lama. Ada tekanan dan rasa gugup, tapi akhirnya segalanya terlerai,” kata Allman.

Allman sebelum ini mencatat sejarah memenangi emas Olimpik Tokyo 2020 ketika stadium tanpa penonton akibat pandemik COVID-19, dan kembali di venue sama semalam dengan suasana penuh berbeza.

“Di bandar inilah saya mula jadi juara Olimpik, dan kini juara dunia. Ia momen penuh makna buat saya. Saya rasa tidak lengkap sebelum ini, dan kini semuanya berakhir,” jelasnya.

Van Klinken pula menganggap pencapaian itu sebagai sesuatu yang sukar dipercayai, apatah lagi beliau turut aktif dalam acara tolak peluru.

“Saya tahu orang mahu saya fokus satu acara, tapi saya suka kedua-duanya. Saya percaya boleh jadi pemenang global dalam kedua-dua disiplin,” kata Klinken.

Sementara itu, Vanessa Kamga dari Sweden terpaksa berpuas hati di tempat keempat walaupun melakar rekod kebangsaan baharu 66.61m, manakala seorang lagi juara Olimpik dari AS, Laulauga Tausaga, menamatkan saingan di tempat keenam (65.49m). – AGENSI





Source link