MUKTAMAR PAS | Presiden PAS Abdul Hadi Awang mendakwa slogan ‘Malaysia Madani’ yang diperkenalkan kerajaan perpaduan pimpinan Anwar Ibrahim hanya dijadikan alat untuk menipu rakyat.
Dalam Ucapan Dasar pada Muktamar PAS ke-71, di Alor Setar, Kedah, Hadi mengumumkan tema muktamar kali ini iaitu ‘Kembali Kepada Penyelesaian Islam‘ sambil mengecam konsep ‘Madani’.
Hadi menyifatkan konsep ‘Madani’ menyerupai gerakan ‘haddathah’ (pembaharuan) yang menurutnya adalah istilah barat seperti reformasi, progresif, konservatif, Islam liberal dan Islam sekular yang boleh memesongkan akidah.
“Madani yang sebenar ialah Islam wajib berkuasa memerintah urusan manusia. Rasulullah SAW adalah teladan terbesar pada akhir zaman, ketika manusia dikurniakan kemajuan ilmu sehingga menghubungkan seluruh manusia di alam dunia terkini.
“Masalahnya ‘Malaysia Madani’ dijadikan slogan untuk menipu rakyat dengan kefahaman yang sempit tanpa ilmu; hanya sekadar menipu tanpa haluan dan petunjuk. Slogan itu juga disempitkan sekadar secebis bumi kecil Malaysia di dalam dunia yang luas.
“Menangani isu ekonomi kita telah menyaksikan kegagalan fahaman sosialisme dan komunisme kerana ciri-ciri fahaman tersebut berlawanan dengan fitrah manusia. Bahkan, kita juga sedang menyaksikan tanda-tanda merudumnya liberal kapitalisme atas sebab-sebab yang sama,” katanya.
Turut hadir pada muktamar hari ini ialah pimpinan parti komponen PN termasuk Presiden Bersatu merangkap Pengerusi PN Muhyiddin Yassin, ketua pembangkang Hamzah Zainudin, Presiden Gerakan Dominic Lau, serta Presiden Parti Masyarakat India Malaysia (MIPP), P Punithan.
Konsep Madani diperkenalkan Anwar pada Jan 2023 di bawah pentadbirannya sebagai satu gagasan pentadbiran negara yang berteraskan prinsip tadbir urus baik, keadilan, dan kesaksamaan.
Ia menggariskan enam nilai teras yang bersepadu, iaitu kemampanan, kesejahteraan, daya cipta, hormat, keyakinan, dan ihsan, sebagai panduan untuk mewujudkan negara yang lebih manusiawi, maju, dan makmur untuk semua rakyat Malaysia.

Terdahulu, Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang berucap di hadapan lebih 4,400 perwakilan di Kompleks PAS Kedah menekan bahawa ekonomi perlu disusun semula supaya kekayaan tidak berpusing dalam kalangan orang tertentu sahaja.
“Negara kini dibebankan dengan hutang yang banyak, dan lebih malang lagi, dihinggapi penyakit dosa riba yang diharamkan dan diperangi oleh Allah dan Rasul-Nya. Riba tetap menjadi rukun Bank Dunia (World Bank) dan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) yang dijadikan kiblat ekonomi oleh negara yang berteraskan kebendaan.
“Kita perlu merakyatkan ekonomi dengan penglibatan rakyat untuk menggerakkan ekonomi, seterusnya memastikan limpahan ekonomi dapat dinikmati oleh rakyat terbanyak.
“Ekonomi perlu disusun semula supaya kekayaan tidak berpusing dalam kalangan orang tertentu sahaja. Hasil sedikit boleh diurus dan ditambah dengan ilmu dan kebijaksanaan serta dikawal tidak bocor, kerana percaya dosa dan pahala serta akhlak yang mulia, sehingga menghalang salah laku, penyelewengan, dan rasuah.
“Adapun agenda pembangunan bandar hendaklah bersifat seimbang dari aspek kemajuan, demografi, dan kesejahteraan hidup rakyat tanpa menyisihkan dan meminggirkan mana-mana pihak,” katanya.