Hamas pada Ahad menggesa Sidang Kemuncak Arab-Islam yang dijadual diadakan di Doha pada Isnin supaya mengambil langkah segera bagi menghentikan serangan Israel ke atas Gaza, menamatkan sekatan, serta melindungi kedaulatan dan keselamatan kolektif negara Arab dan Islam, lapor Xinhua.
Anggota biro politik Hamas, Izzat al-Risheq dalam satu kenyataan berkata sidang itu seharusnya menjadi “titik perubahan” bagi keputusan Arab untuk menghentikan pencerobohan ke atas Gaza, menamatkan kepungan segera dan mempertahankan kedaulatan serta keselamatan negara-negara Arab.
Beliau berkata mesyuarat di Doha wajar mencerminkan “konsensus bersejarah” yang menyaksikan negara Arab dan Islam menggembleng segala kekuatan untuk menghentikan peperangan di Gaza dan tindakan Israel di Tebing Barat, Baitulmuqaddis, Lubnan, Syria, Yaman, Tunisia serta Qatar.
Al-Risheq menuduh Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu cuba memperluas konflik ke seluruh rantau bagi “melakar semula peta Timur Tengah dan menguasainya, berpaksikan visi ekstremis Israel Raya.”
Beliau turut mengecam serangan Israel terhadap pasukan perunding Hamas di Doha, menyifatkannya sebagai “cubaan terang-terangan untuk menggagalkan usaha Qatar menjadi pengantara bagi menghentikan malapetaka kemanusiaan di Gaza.”
Sementara itu, seorang lagi anggota biro politik Hamas, Basem Naim, dalam kenyataan berasingan berkata serangan terhadap Qatar sekali lagi “mendedahkan sifat khianat Israel yang mengabaikan perjanjian dan komitmen.”
“Rantau kita dan dunia kini berada di persimpangan bersejarah: sama ada membiarkan Israel meneruskan pencerobohan dan ketidakstabilan, atau menyatukan usaha untuk menghentikan kekacauan yang dikenakan Netanyahu dan kerajaannya,” kata Naim.
Beliau menyatakan harapan Hamas agar sidang itu dapat melahirkan pendirian tegas Arab-Islam untuk memutuskan hubungan dengan Israel dan memastikan ia bertanggungjawab atas tindakannya.
Hamas juga memaklumkan telah menghantar memorandum segera kepada negara Arab dan Islam, negara berpengaruh, Liga Arab, Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), Suruhanjaya Kesatuan Afrika dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Menurut salinan memorandum yang diperoleh Xinhua, ia memperincikan cubaan “khianat” Israel untuk membunuh delegasi perunding Hamas di Doha.
Dokumen itu menyatakan kepimpinan Hamas termasuk pasukan perundingnya telah bertemu pegawai Qatar pada 8 Sept, yang membentangkan cadangan gencatan senjata baharu.
Namun pada 9 Sept, pesawat Israel menyerang kediaman Khalil al-Hayya, ketua delegasi perunding Hamas, mengorbankan lima anggota Hamas termasuk anaknya serta seorang pengawal keselamatan Qatar.
Beberapa ahli keluarga al-Hayya turut cedera, manakala para perunding Hamas terselamat.
Memorandum itu menyifatkan serangan berkenaan sebagai “pelanggaran serius terhadap kedaulatan Qatar, negara pengantara dalam rundingan.”
Ia menegaskan Hamas telah menunjukkan “toleransi maksimum” dalam usaha menghentikan peperangan, sedangkan Israel “terus menggagalkan perjanjian melalui pembunuhan, syarat baharu dan pembantaian, sambil menjadikan rundingan sebagai helah membuang masa.”
– Bernama- Xinhua