LAMBAKAN mesej diterima berbentuk hinaan, kecaman mengaitkan pelakon, Niezam Zaidi dengan karakter Tajul dalam drama Dia Bukan Syurga yang pernah mencuri perhatian ramai suatu ketika dahulu. Bahkan terbit teori dan spekulasi bahawa Niezam bukan sedang berlakon, sebaliknya menjadi dirinya sendiri yang baran dan psiko melihat kepada deretan aksi pukul perempuan dalam drama berkenaan.
Niezam atau Mohd. Niezam Mohd. Zaidi, 32, terkejut apabila masyarakat tidak melihat Tajul sebagai karakter sebaliknya dirinya sendiri sehingga ada yang menjauhkan diri dengan pelakon itu kerana dianggap menyeramkan. Jawablah Niezam!
Bila difikir-fikir, rasanya karakter Tajul adalah yang berjaya menonjolkan sisi lakonan selama bergelar pelakon, macam mana impaknya kepada awak?
Impaknya menakutkan juga apabila banyak kecaman saya terima. Mereka tidak marah Tajul, tapi anggap itu betul-betul saya. Sisi baiknya, ramai mula melihat saya sebagai pelakon dengan watak pelbagai. Betul, saya anggap itu karakter paling berat. Ingat lagi untuk kekalkan momentum karakter itu, saya tidak berjumpa orang walaupun tengah sambut Hari Raya. Saya hanya duduk sendirian dalam bilik tidak jumpa keluarga dan teruskan penggambaran selepas empat hari cuti raya.
Bahagian mana yang paling susah dalam menjiwai karakter seorang yang ada Gangguan Identiti Disosiatif (DID)
Memang berat, sebab karakter Tajul sangat berlawanan dengan keperibadian saya. Semua orang ada baran, saya juga macam saya muda. Darah panas. Tapi saya ada had, saya tidak pukul perempuan. Bagi saya apabila lelaki naik tangan itu petanda dia seorang yang lemah.
Dulu baran? Baran yang macam mana?
Ya, waktu saya muda. Dulu atas jalan raya kalau ada orang bawa kereta tidak tentu hala memang saya rasa marah. Sampai akhirnya saya bawa motor. Sama juga kalau bergaduh dengan sesiapa, saya akan lepaskan kemarahan itu dengan sakitkan diri sendiri macam tumbuk dinding untuk lepas geram. Had saya memang tidak akan menyakiti atau mencederakan sesiapa.
Sekarang bagaimana? Sebab kita juga berubah seiring meningkat usia.
Sekarang saya di fasa berbeza, sekarang sudah tidak mahu maran-marah hanya akan berdiam. Sebab itu, saya tidak boleh tengok kalau ada pasangan bergaduh depan orang ramai. Lepas itu kalau ada yang nasihat dan leraikan pergaduhan mesti dia akan cakap ‘kau jangan masuk campur urusan rumah tangga aku’, kalau tidak mahu orang masuk campur sila gaduh dekat rumah. Sebab itu ruang awam, orang berhak masuk campur. Lagi pula, ada pengalaman lalu dalam hidup saya yang meruntuhkan ego dan sifat baran.
Apa peristiwa itu? Kalau tidak kisah kongsikan.
Ada satu peristiwa hitam yang siapa tahu, tahulah. Kejadian itu berlaku pada 2021 membuatkan saya ditahan dan dibicarakan. Kejadian itu betul-betul menundukkan ego saya.Walaupun peristiwa itu pahit tapi saya bersyukur kerana ia mengubah saya.Ketika itu saya sudah tidak lagi berharap kepada sesiapa baik kawan-kawan atau kenalan. Ingat lagi saya bisik dalam hati ‘Ya Allah aku serahkan segalanya kepada Engkau’. Rasa nak putuskan hubungan dengan semua orang.
Tapi bila dekat mahkamah, saya disahkan boleh keluar dan nampak papa saya di situ. Saya tidak boleh kawal emosi. Detik itu saya bertekad untuk dahulukan keluarga termasuklah berkongsi apa juga berita dengan mereka. Sejak hari itu juga hubungan kami berubah jadi lebih erat.