Malaysia Oversight

‘Rakyat Sabah dah muak dengan GRS’

By MkiniBM in September 14, 2025 – Reading time 2 minute
'Rakyat Sabah dah muak dengan GRS'


Ketua Penerangan Sabah, Suhaimi Nasir menolak kajian Ilham Centre yang mendakwa Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sedang mendahului menjelang pilihan raya negeri Sabah, dengan menyatakan dapatan tersebut tidak menggambarkan realiti sebenar.

Suhaimi berkata demikian sebagai respon terhadap kajian Ilham Centre yang dilaporkan FMT pada Sabtu lalu, yang menyatakan GRS berada di hadapan berdasarkan beberapa faktor termasuk kedudukannya sebagai yang memerintah.

“Atas prinsip demokrasi, menghormati tinjauan akademik itu namun menegaskan tidak terkesan dengan naratif terbabit yang pada hemat saya nyata tidak berpijak pada realiti politik semasa, malah mengabaikan suara sebenar rakyat di bawah,” kata Suhaimi dalam satu kenyataan.

Sebaliknya, katanya, dapatan di lapangan untuk tempoh panjang mendapati wujud sentimen dan gelombang besar untuk mengubah pentadbiran GRS yang diketuai Hajiji kerana kegagalannya menyelesaikan isu seperti masalah tiga serangkai (air, elektrik dan jalan raya).

Keadaan itu kata Suhaimi, berlaku di sebalik peruntukan besar disalurkan pusat.

“Sejarah politik negara telah membuktikan bahawa kelebihan jentera tidak menjamin kemenangan. Beberapa kerajaan terdahulu telah tumbang meskipun mempunyai segala kelengkapan pentadbiran, kerana yang menentukan hala tuju politik ialah keyakinan dan kepercayaan rakyat,” kata Suhaimi.

2a790daeaf251500efc731471d912341

Semalam, CEO Ilham Centre, Hisomuddin Bakar berkata, kajian badan itu mendapati GRS mendapat sokongan konsisten di kebanyakan kawasan, manakala majoriti pengundi lebih cenderung kepada calon berprofil tinggi serta parti berpengaruh — faktor yang memberi kelebihan kepada GRS.

Hisomuddin turut dilaporkan berkata GRS khususnya menikmati sokongan kukuh di kawasan Kadazandusun-Murut (KDM) dan Bumiputera .

Dalam menyangkal dapatan itu, Suhaimi mengemukakan beberapa faktor yang menurutnya menyumbang kepada kemerosotan keyakinan rakyat terhadap GRS.

Antaranya isu kematian tragis pelajar Tingkatan Satu, Zara Qairina, serta video tular pemimpin kerajaan negeri menerima rasuah berkaitan perlombongan mineral.

7c6b548c7c181be2f2b9d5f63ad0ed09

Suhaimi turut mempersoalkan kayu ukur yang digunakan Ilham Centre dalam mendakwa GRS sedang mendahului parti lain.

“Jika berpijak di bumi nyata, jelas rakyat sudah semakin muak dengan kelemahan pentadbiran ini.

“Saya ingin mengingatkan bahawa keyakinan rakyat tidak boleh dibentuk melalui laporan atau kenyataan pihak tertentu semata-mata.

“Sekiranya sesebuah pentadbiran benar-benar berkesan, rakyat sendiri akan mengiktiraf dan mengangkatnya tanpa perlu dibayar atau ditonjolkan melalui penilaian yang memihak,” katanya.

Suhaimi turut menegaskan memiliki rekod pencapaian kukuh serta pengalaman mentadbir yang telah terbukti.

“Justeru, “Gelombang Biru” pada 21 September di Magellan Sutera bukan sekadar perhimpunan biasa, tetapi simbol kebangkitan rakyat Sabah untuk kembali kepada kepimpinan yang stabil, konsisten dan berwibawa.

“Rakyat Sabah kini bersedia menutup episod pentadbiran GRS yang lemah, serta membuka lembaran baharu bersama BN – gabungan yang terbukti sentiasa menjaga kepentingan negeri dan rakyat,” tegasnya.



Source link