Malaysia Oversight

Beberapa kawasan di KL dipilih untuk diberi ‘nafas baru’

By MkiniBM in September 14, 2025 – Reading time 1 minute
Beberapa kawasan di KL dipilih untuk diberi 'nafas baru'


Beberapa kawasan di Kuala Lumpur dikenal pasti untuk dilaksanakan repurpose atau penggunaan semula adaptif dengan meningkatkan fungsi kawasan menggunakan konsep Baukultur.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa berkata pendekatan itu akan memastikan nilai seni bina dan warisan tetap terpelihara serta menambah baik lagi fungsi kawasan terlibat.

Selain itu, beliau memaklumkan Astaka Morocco di Taman Botani dipilih oleh Jabatan Wilayah Persekutuan dan Perbadanan sebagai kawasan untuk dilaksanakan repurpose, lanjutan daripada lawatan kerja beliau ke Itali baru-baru ini.

“Astaka Morocco merupakan bukti pengembangan budaya Andalusia ke Nusantara. Setelah lebih 22 tahun, astaka ini kekal menjadi simbol diplomasi budaya dan seni bina bernilai tinggi,” katanya menerusi hantaran Facebook hari ini.

Baukultur ialah falsafah pembangunan yang mengekalkan roh budaya dalam seni bina sambil menambah baik fungsi agar terus relevan.

Melalui konsep Baukultur, bangunan dan ruang tidak hanya dibina untuk kegunaan, tetapi juga bagi mengekalkan identiti serta meningkatkan kualiti hidup masyarakat.

– Bernama



Source link