Isu beberapa Ahli Parlimen yang mendakwa menerima ugutan video lucah kini berada di bawah siasatan polis, kata Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil.
Beliau berkata Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sebagai agensi teknikal akan membantu siasatan yang dijalankan polis.
“(Perkara) ini di bawah siasatan PDRM dan MCMC akan membantu sebagai agensi teknikal. Jadi pihak yang mengetuai siasatan ialah PDRM. Buat masa ini saya tidak mempunyai maklumat tambahan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Hari Bersama Komuniti dan Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) Penanti di Bukit Mertajam hari ini.
Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Seri Mohamad Fauzi Md Isa, Pengarah Urusan MCMC Abdul Karim Fakir Ali.

Fahmi berkata demikian sebagai mengulas laporan media bahawa bekas Menteri Ekonomi Datuk Seri Rafizi Ramli mendakwa menerima ugutan video lucah kononnya membabitkan dirinya dan seorang lelaki, yang dikirim melalui e-mel tidak dikenali pada Jumaat lepas.
Ahli Parlimen Pandan itu mendakwa pengirim turut memeras ugut beliau wang US$100,000 (RM420,000) sekiranya tidak mahu video berkenaan disebarkan selain Ahli Parlimen Subang, Wong Chen turut menerima e-mel ugutan sama.
Terbaharu, Ahli Parlimen Sungai Petani Dr Mohammed Taufiq Johari turut mendakwa menerima ugutan sama serta menegaskan video disunting menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) dengan niat untuk menjatuhkan maruah dan integriti beliau.
– Bernama