GEORGE TOWN: Malaysia sedang melaksanakan gelombang reformasi kesihatan yang berani bagi membina sistem yang lebih berdaya tahan, saksama dan bersedia menghadapi cabaran masa depan, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.
Berucap pada Majlis Jamuan Tahunan Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) sempena Mesyuarat Agung Tahunan ke-65 di sini malam tadi, beliau menggariskan beberapa tonggak utama agenda reformasi kesihatan negara.
Antaranya termasuk pembaharuan pembiayaan kesihatan, inisiatif Rakan KKM untuk memperkasakan hospital dan klinik Kementerian Kesihatan (KKM) demi kesejahteraan rakyat, serta pelaksanaan sistem pembayaran Diagnosis-Related Group (DRG) menjelang pertengahan 2026 bagi menangani inflasi kos rawatan perubatan.
Beliau berkata, skim asas Insurans/Takaful Perubatan dan Kesihatan (MHIT) yang diperbaharui juga sedang diperkenalkan dengan kerjasama Bank Negara Malaysia (BNM) dan pemain industri bagi memberi perlindungan lebih baik khususnya kepada golongan M40.
“Reformasi kedua ialah program pendigitalan yang telah pun dilaksanakan. Setakat ini, kira-kira 200 klinik menggunakan Cloud-Based Clinic Management System (CCMS) di fasiliti kami. Hampir 15 hospital akan menggunakan Electronic Medical Records (EMR) pada 2025, manakala 16 lagi hospital bakal menyusul tahun berikutnya,” katanya.
Dzulkefly turut menekankan cabaran dalam mengekalkan tenaga profesional perubatan termasuk kekurangan doktor yang ketara, selain memaklumkan bahawa Jemaah Menteri telah diberi taklimat mengenai isu caj konsultasi pengamal perubatan swasta serta pengurusan pihak ketiga (TPA).
Sehubungan itu, katanya, pindaan terhadap Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998 (Akta 586), khususnya Jadual Ketujuh, kini sedang dibincangkan secara aktif.
Dzulkefly turut menekankan cabaran untuk mengekalkan tenaga profesional perubatan termasuk kekurangan yang ketara, sambil mengesahkan bahawa Jemaah Menteri telah diberi taklimat mengenai yuran konsultasi pengamal perubatan am (GP) swasta dan isu pentadbir pihak ketiga (TPA).
Sehubungan itu, katanya, pindaan terhadap Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998 (Akta 586), khususnya Jadual Ketujuh, kini sedang dibincangkan secara aktif.
Sebelum ini, media melaporkan bahawa Jadual Ketujuh itu tidak pernah dipinda sejak digazetkan pada 2006.
Dalam pada itu, Dr Dzulkefly turut menekankan bahawa sistem kesihatan negara kini berdepan cabaran baharu termasuk bebanan dwipenyakit, populasi menua serta peningkatan inflasi perubatan.
Beliau berkata negara membelanjakan kira-kira RM64.3 bilion setahun bagi rawatan penyakit tidak berjangkit (NCD), termasuk kos langsung dan tidak langsung seperti kehilangan produktiviti serta kematian pramatang – BERNAMA