Malaysia Oversight

Jambatan gantung Taman Negara dipertikai

By MkiniBM in September 14, 2025 – Reading time 2 minute
Jambatan gantung Taman Negara dipertikai


Pemain industri pelancongan di Taman Negara Pahang meluahkan rasa kecewa berhubung pengoperasian dua buah jambatan gantung (canopy walkaway) yang sehingga kini menjadi ‘misteri’ di kalangan mereka dan pengunjung.

Ia susulan dua jambatan gantung berkenaan tidak dapat digunakan pengunjung dengan salah satu jambatan gantung lama yang terletak di Rentis Terisek ditutup kerana mengalami kerosakan sejak September 2024.

Jambatan gantung yang baru pula turut mencetuskan persoalan apabila belum dibuka kepada pelancong walaupun sudah siap sepenuhnya.

Pengerusi Persatuan Pemandu Pealncong Alam Semula Jadi Taman Negara Pahang, Mohamad Anas Zainudin mendakwa, selepas setahun, pihaknya mendapati jambatan gantung lama itu belum diperbaiki sepenuhnya.

5b7ac5044b49635760628e4719be6722

Menurutnya, jambatan gantung di Rentis Terisek itu rosak kerana dihempap pokok dan kini masih ditutup kepada para pelancong.

“Walaupon ditutup semenjak September 2024, kerja-kerja penyelenggaraan mula dibuat pada Februari lalu, namun kerja-kerja penyelenggaraan terhenti pada penghujung Jun akibat kerosakan (akibat) pokok yang dipanah petir dan kerja-kerja penyelenggaraan terhenti sehingga sekarang.

“Tiada sebarang notis atau makluman rasmi daripada pihak Perhilitan Pahang dan Taman Negara Pahang. Penggiat pelancongan terpaksa mendapatkan maklumat sendiri daripada pihak kontraktor dan pekerja penyelenggaraan yang terlibat berkenaan status semasa canopy walk lama tersebut untuk menjawab persoalan daripada para pelancong.

“Ramai pelancong kecewa apabila diberitahu mereka tidak boleh menggunakan jambatan gantung tersebut,” katanya kepada Malaysiakini.

55c7574769e1225734efa8a37693eef1

Mohamad Anas turut memaklumkan terdapat sebuah lagi jambatan gantung yang baru siap dibina pada awal tahun ini di lokasi berhampiran Sungai Tahan.

Menurutnya, penggiat sektor pelancong di situ begitu teruja kerana jambatan gantung baru itu sekurang-kurangnya dapat menggantikan jambatan yang rosak.

“Tetapi bermula dari tarikh serahan dan perasmian, tidak ada sebarang pengumuman daripada pihak Jabatan Perlindungan Hidupan Liar Dan Taman Negara Negeri Pahang (Perhilitan Pahang) berkenaan pengoperasian jambatan gantung yang baru ini.

44e73cc1343c22628de14491fe47ffef

“Kemudian pada Jun lalu Perhilitan Pahang mengadakan simulasi pengoperasian jambatan gantung baru tersebut dan dimaklumkan ia akan dibuka pada 15 Julai dan kemudian ditukar kepada 17 Julai.

“Namun begitu, sehingga kini jambatan gantung baru ini masih tidak dibuka untuk kegunaan para pelancong, malah tiada sebarang pemberitahuan atau notis berhubung perkara itu,” katanya.

Tambahnya lagi, pihak persatuan juga ada berhubung dengan pihak pengurusan Taman Negara Pahang, bagaimanapun persoalan mereka tidak dijawab dengan tuntas.

Mohamad Anas turut mendakwa wujudnya sikap pilih kasih apabila ada sesetangah pelancong yang datang dan dibenarkan menggunakan jambatan gantung yang baru itu.

Katanya, perkara ini menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan pelancong yang datang dari dalam dan luar negara dengan amalan pilih kasih itu.

“Pelancong berbelanja besar dan teruja datang ke Taman Negara, apabila sampai mereka dapati jambatan gantung tidak dibuka untuk kegunaan pelancong.

“Tetapi mereka ada lihat dengan mata sendiri dan mengadu apabila ada sesetengah pelancong lain dibenarkan menaiki jambatan tersebut. Mereka amat marah dan kecewa dengan situasi ini, dan kami sebagai pemegang taruh terkena tempias dengan amalan buruk berkenaan oleh pihak pengurusan Taman Negara Pahang,” dakwanya.

Malaysiakini sedang mendapatkan penjelasan lanjut daripada pihak pengurusan Taman Negara Pahang dan Perhilitan Pahang.



Source link