Malaysia Oversight

Inilah Malaysia yang kami banggakan

By Utusan in September 14, 2025 – Reading time 6 minute
Inilah Malaysia yang kami banggakan


CHA, apa khabar?” senyuman pelakon, Hun Haqeem lebih lebar daripada biasa menyambut kedatangan Theebaan G yang muncul di muka pintu. Matanya bersinar, tangannya terbuka bersalaman sambil menepuk lengan Theebaan. Saya biarkan mereka berbual sementara menunggu solekan Hun selesai.

Penggambaran sesi fotografi Pancaindera kali ini sedikit berbeza. Kami undang tiga selebriti yang memang bersahabat di dunia nyata iaitu Hun Haqeem, Theebaan G dan Andy Teh untuk bercerita tentang kasih-sayang dan bromance yang terjalin antara mereka sempena edisi Hari Malaysia. Kami mahukan kemesraan yang tidak dibuat-buat tertancap di kamera.

Dalam mengenang Hari Malaysia, perkara mustahak yang perlu diingati adalah keindahan bagaimana 16 September 1963 menjadi simbol penyatuan tidak hanya faktor geografi, tetapi juga kepelbagaian bangsa. Ia tarikh keramat, permulaan rasmi kita hidup sebagai satu keluarga di Malaysia.

Oleh itu, persahabatan tiga sekawan ini wajar diceritakan sebagai bukti semangat muhibah terbit kerana penubuhan Malaysia. Mereka hanya perlu menjadi diri mereka, itu sahaja.

Tidak lama kemudian Andy Teh tiba menyertai kami di lokasi penggambaran iaitu di restoran Nasi Kandar Hameediyah yang juga jenama nasi kandar tertua di Malaysia. Suasana menjadi lebih meriah, mereka saling berseloroh, bergurau sesekali nampak serius membincangkan hal-hal industri.

“Terima kasih ajak kami lepak mamak, ini pertama kali kami sama-sama sempat lepak mamak begini. Selalunya lepak gim saja,” ujar Hun kepada kami disambut gelak tawa yang lain.

Lokasi kali ini tidak dipilih saja-saja. Mamak merujuk kepada komuniti India Muslim terawal di Malaysia yang memberi citra dalam kulinari baik mi goreng, maggie goreng, teh tarik, nasi kandar dan lain-lain. Namun begitu, mamak menciptakan budayanya sendiri apabila fungsi kewujudan restoran mereka menjadi sangat signifikan dalam peranan sosial masyarakat.

Mamak terasa sangat Malaysia sekali, mereka simbol kepada kejayaan asimilasi budaya tidak kira bangsa, agama untuk duduk sekali berkongsi meja. Dengan durasi jam perniagaan yang selalunya lebih lama, kita ada masa untuk berbual. Mamak menjadi third place iaitu tempat ketiga bersosial selain rumah dan tempat kerja agar kita saling berkomunikasi seperti yang ditekankan ahli sosiologi, Ray Oldenburg dalam bukunya, The Great Good Place.

 

Screenshot 2025 09 13 145121

Bagi kami yang ada cuma bangsa Malaysia – Theebaan G

Sebelum memulakan kerjaya sebagai pelakon baik untuk pasaran naskhah Tamil dan Melayu. Theebaan atau Theebaan Govindasamy, 35, merupakan atlet negara untuk karate dan seni bela diri campuran (MMA). Theebaan merupakan Champion Welterweight, MIMMA musim keempat, Juara Karate Negara 7 kali, pemenang 3 Pingat Perak di Kejohanan Sukan ASEAN.

Bermula dengan satu filem berbahasa Tamil ketika usianya 24 tahun, siapa sangka potensi bakat Theeban mula dikesan pengarah popular, Adrian Teh. Bagi pasaran filem arus perdana, Theebaan mula diperhatika ketika membintangi PASKAL seterusnya Martabat: Misi Berdarah.

Menjadi atlet dan aktif dalam lapangan MMA menemukannya dengan Andy Teh dan Hun Haqeem yang kemudian masing-masing berada dalam kerjaya sama sebagai pelakon.
“Saya sudah berkawan dengan Andy sebelum jadi pelakon lagi sekitar awal 20-an sebab dia pun seorang atlet. Jadi, kami banyak pergi pertandingan sama-sama. Hun pula, memang sudah terkenal, kali pertama jumpa pun di gim, berbual apa entah saya tak ingat tapi terus ‘klik’.

“Kalau anda tengok Hun Haqeem senyum, percayalah senyuman dia bukan palsu. Bila dia bercakap dengan awak, dia betul-betul dengar dan ikhlas tanpa niat tersembunyi.
“Andy ini pula ibarat abang-abang mungkin sebab dia seorang coach. Dia tidak boleh dengar orang minta tolong, dia akan bantu sehabis baik. Dia ambil peduli kebajikan dan keadaan kawan-kawan,” kata Theebaan.

Bercakap tentang nilai persahabatan, Theebaan tidak pernah melihat Hun atau Andy sebagai ‘bangsa’ berbeza. Sebaliknya sama-sama manusia. Dibesarkan dalam keluarga penyayang dan tidak bercakap buruk tentang orang lain, Theebaan tidak faham bagaimana ada segelintir individu boleh mengeluarkan sebarang kenyataan berbaur perkauman.

“Kita bukan kaum Cina, India atau Melayu. Kita bangsa Malaysia. Jadi, bila buka media sosial dan terbaca orang bersikap rasis, sila abaikan.

“Kita boleh pergi jauh jika tidak berfikiran sebegini. Di usia kemerdekaan sudah 68 tahun, kita tidak mahu anak-anak kita juga bercakap tentang isu perkauman.
“Lebih baik kita fikir bagaimana mahu naikkan nama Malaysia ke mata dunia,” katanya.

 

Screenshot 2025 09 13 145141

Satu Malaysia pujuk Andy Teh

Menurut Andy atau Andy Teh Kim Huat, 38, apabila seseorang itu sudah bergelar bintang, akan ada sikap mudah berhidung tinggi. Namun sahabatnya, Hun Haqeem tidak sebegitu. Kata Andy, Hun mempunyai nama samaran yang diberikan kru belakang tabir dan penggiat seni sebagai ‘Keanu Reeves Malaysia’ kerana sikapnya yang dermawan

“Walaupun Hun lebih muda daripada saya namun pengalamannya dalam industri seni lebih banyak. Dalam filem terbaharu saya Abang Saya Uncle Mike, dia banyak bantu dalam persediaan watak.Kami bukan sahaja ‘klik’ tapi tahap rapat kami ialah ibu bapa kami pun saling kenal,” ujar Andy.

Mengulas mengenai Theebaan, dia melalui fasa hidup yang sama apabila mereka berdua merupakan atlet Malaysia. Bezanya, Andy mewakili Malaysia untuk sukan Taekwondo beberapa kali seperti di Sukan Asia (Asian Games) 2006 dan Sukan Olimpik 2008.

“Mungkin ramai tidak tahu, tapi dalam komuniti India, Theebaan adalah selebriti yang sedang popular kerana karakter, personaliti dan bakatnya.

“Saya yakin orang macam Theebaan adalah anak seni yang tepat untuk kita harapkan memajukan industri,” katanya.Pelakon yang meledak dengan karakter Pablo dalam filem Blood Brothers itu merasakan Malaysia adalah negara contoh menunjukkan bagaimana keamanan bertahan kerana sikap toleransi dan saling membantu.

“Semasa 2010, MMA masih baru di Malaysia. Semasa mewakili Malaysia, ramai peserta dari negara lain belum pernah dengar Malaysia. Mereka ingat saya dari atau Singapura. Itu membuatkan saya berkobar mahu tunjukkan kehebatan Malaysia.

“Cuma kalau saya boleh kongsikan momen paling bermakna ialah ketika kejohanan MMA pertama saya 15 tahun lalu. Waktu itu saya wakil Malaysia dan kita tuan rumah.

“Ketika di pusingan akhir saya lawan dengan wakil Hong Kong, dia ‘kunci’ tangan saya. Kalau ikut peraturan saya kena mengalah, kalau tak, tangan saya boleh patah. Tapi saya tahan enggan mengalah sebab dengar penyokong kita sudah bersorak. Tapi pengadil yang tamatkan permainan.

“Saya sedih kerana kalah tapi saya tidak boleh lupa bagaimana rakyat Malaysia pujuk saya selepas itu. Mereka kata tak mengapa, jangan risau saya sudah buat yang terbaik,” tam­bahnya.

 

Screenshot 2025 09 13 145102

Lindungi diri daripada probvokasi – Hun Haqeem

Mungkin nampak kecil sahaja peranan sambutan hari patriotik di sekolah, tapi kalau bukan kerana hal-hal seperti itu, Hun tidak akan mempunyai rasa cinta yang menebal terhadap Malaysia.

Kata pelakon Mandul Bukan Pilihan itu, waktu dulu dia sangat menyukai lagu Bahtera Merdeka tanpa tahu maknanya. Namun apabila semakin mendewasa lirik-lirik itu bergema dan mempunyai makna mendalam kepada dirinya.

Banyak pihak yang cuma mencetuskan provokasi seperti isu perkauman mahupun perkara tentang bendera terbalik, tapi Hun berpendapat hanya yang ‘kosong’ sahaja akan mudah terpancing dan ikut marah-marah.

Menurut anak kelahiran Sarawak itu, ada beza jika seseorang itu mahu menegur kerana sayang, atau kerana amarah semata-mata. Provokasi selalunya dicetuskan satu, dua individu namun mengheret beribu-ribu orang untuk saling mencuriga. Sebagai seorang dewasa, kita sepatutnya lebih matang menguruskan perasaan agar tidak dibudakkan emosi.

“Rasa muhibah dan penyatuan yang kuat dalam diri akan membuatkan sesuatu kritik itu dilakukan atas dasar kasih sayang dan bukannya kebencian semata-mata. Percayalah, jika kita menegur dengan baik orang itu akan luluh juga dan menerima semuanya dengan hati terbuka.

“Saya fikir di sinilah letaknya kepentingan Rukun Negara, kesopanan dan kesusilaan. Sayang jika ia makin menghilang. Hari ini ditengah ketegangan konflik antara negara jiran, kita dihormati kerana mahu membantu sesama tetangga.

“Itu seharusnya yang perlu lebih kerap diperkatakan. Saya bangga kerana ia menunjukkan nilai sebenar rakyat Malaysia, bukannya seperti apa yang diprovokasi,” jelasnya.

Bagi Hun, persahabatannya bersama Theebaan dan Andy adalah bukti keindahan kasih sayang yang sebenar kerana didasari keikhlasan.

“Andy adakah sahabat saya yang romantis, sangat baik. Saya pernah di fasa terendah akibat kaki cedera, ketika sedang sibuk promosikan filem Blood Brothers, dia curi masa untuk datang cari saya. Theebaan selalu ada jika saya perlukan nasihat tentang keputusan besar dalam hidup. Dia selalu percaya kepada potensi dalam diri walaupun perkara itu saya sendiri ragui.

“Mereka buat saya rasa, jika saya berhadapan kekalahan pun dalam hidup Ia tetap kekalahan yang manis kerana sokongan mereka berdua,” katanya mengakhiri temu ramah.

Kami menutup sesi fotografi dengan hidangan lazat kerana tuan rumah (Nasi Kandar Hameediyah) berbesar hati mahu menaja. Usai kerja, kami meminta izin pulang sementara Theebaan, Hun dan Andy masih mahu meneruskan perbualan.

Kami meninggalkan tiga sekawan itu yang saling tertawa, dari jauh tersenyum kerana mereka telah membenarkan kata Usman Awang dalam sajaknya ‘bukankah kecurigaan telah terbunuh saat kita bersapa?’.





Source link